Apa yang penting ialah ‘tutup buku lama, buka buku baharu’. Kehidupan perlu diteruskan dan dalam masa sama belajar daripada kesilapan lalu agar tidak berulang.

Malah, semua insan layak diberi peluang kedua untuk berubah dan menjadi lebih baik. Tambahan pula tahun baharu 2019 bakal menjelang, segala keburukan dan kesilapan lampau tidak perlu dibawa ke masa hadapan.

Begitu juga harapan pelakon cantik Fathia Latiff yang sepanjang 2018 mencipta pelbagai kontroversi sehingga menutup ruang baginya untuk berkarya dalam dunia seni.

Fathia, 31, atau nama sebenarnya Nur Fathia Abdul Latiff mengakui sangat terkesan dengan kontroversi yang melandanya sepanjang tahun ini.

Namun, Fathia tidak mahu berlama-lama dengan keadaan tersebut, Sedar yang masa hadapannya masih panjang dan jauh, dia perlu melangkah berani untuk kembali ke dunia seni yang sangat dicintainya.Dia harus memegang amanah dan tanggungjawab kepada diri sendiri untuk menjadi insan yang berbeza.

“Saya akui apa yang telah berlaku (kontroversi) sedikit sebanyak memberi kesan negatif kepada diri dan kerjaya. Mungkin bagi sesetengah orang kontroversi tersebut agak melampau, namun saya hanya manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

“Semua orang pasti akan melalui fasa kehidupan apabila mereka jatuh dan memerlukan masa untuk kembali bersemangat. Begitu juga dengan saya. Baik artis atau orang biasa, hakikatnya sama sahaja. Cuma situasi yang dilalui berbeza, namun rasa hilang arah dan semangat itu pasti ada.

“Sejujurnya banyak pengajaran yang saya pelajari daripada kontroversi lalu. Semua itu mematangkan saya untuk menjadi insan yang lebih baik perlahan-lahan. Perubahan ini perlulah ikhlas dari hati sendiri dan bukan sebab kecaman orang,” kata Fathia.

Dalam tempoh bersendirian menangani segala kemelut yang melingkari hidupnya, Fathia sedar dia perlu menokhtahkan setiap kontroversi yang ada dan kembali kepada tujuan asalnya bergelar anak seni.

“Antara pengajaran yang saya peroleh adalah berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu dan lebih berhati-hati dalam setiap tindakan. Sebagai artis, pergerakan saya pastinya menjadi perhatian. Mahu atau tidak saya perlu terima kerana saya adalah public figure.

“Jadi, fikir dulu kesan baik dan buruknya sebelum apa pun perkara yang dibuat atau bicara yang saya tuturkan.

“Selain itu, saya akan selalu ingat nasihat ibu bapa adalah paling penting kerana mereka terlebih dahulu ‘makan garam’ dalam kehidupan. Mungkin kadang-kadang kita berasakan nasihat itu seperti tidak sesuai, jadi kenalah bersangka baik kerana mana-mana ibu bapa pun mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka.

“Saya juga belajar perlu banyak bersabar dengan ujian yang Allah berikan ini. Saya tahu, sabar itu tidak mudah kerana itulah yang meningkatkan darjat kita sebagai hamba-Nya. Apa yang penting, selalu bisik dalam hati supaya bersabar kerana pasti ada hikmah dalam setiap apa yang kita lalui,” luah Fathia.

Kembali berlakon

Dalam masa sama, Fathia sangat bersyukur dan berterima kasih kerana masih ada produser yang sayang dengan bakatnya lantas memberi peluang untuk dia bangkit semula.

Produser Fadzil Teh atau lebih mesra dipanggil Haji Zil dari Zeel Production tidak meminggirkan Fathia, malah memberi ruang untuk dia kembali berlakon.

“Saya bersyukur dengan rezeki ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Haji Zil yang saya kenali sebagai seorang yang baik hati dan suka menolong artis. Saya doakan beliau sentiasa gembira dan dikurniakan rezeki yang melimpah ruah selepas ini.

“Peluang yang diberikan ini akan saya buktikan bahawa saya serius dalam lakonan dan terus lakukan yang terbaik,” katanya.

Fathia juga mengucapkan terima kasih kepada para peminat yang sentiasa menyokong tatkala dirinya pernah jatuh dan dikecam oleh seluruh masyarakat.

“Pada saat ramai yang mencemuh saya, masih ada peminat yang sentiasa menyokong dan memberi kata-kata semangat melalui laman sosial. Mungkin ada yang tak sempat saya balas tapi percayalah komen-komen anda sangat saya hargai. Hanya Allah yang mampu membalas jasa kalian.

“Kemunculan semula ini akan saya gunakan untuk menghargai setiap mereka yang menyokong. Saya akan perbaiki kelemahan dalam lakonan dan nyanyian,” kata Fathia yang pernah berlakon menerusi drama Ariana Rose, Menanti Februari, Bencinta, Diandra, Dalam Setiap Sujud dan Plan Cinta Tak Jadi.

Berhak diberi peluang kedua – Haji Zil

Sementara itu produser Haji Zil memberitahu, artis yang dilanda kontroversi berhak diberi peluang kedua untuk muncul semula dalam lakonan.

“Saya tiada masalah untuk bekerja dengan mana-mana artis yang dilanda kontroversi seperti Fathia. Bagi saya semua orang buat salah dan dia berhak diberi peluang kedua, ditambah pula dengan bakatnya yang semakin bagus dalam dunia lakonan.

“Terbaharu, Fathia akan berlakon dalam telefilem berjudul Kipas Susah Mati terbitan syarikat saya. Drama ini mengisahkan dunia artis dengan kelab peminat mereka. Fathia akan bawa watak sebagai artis baru yang lupa diri.

“Saya yakin Fathia sudah membuka satu lembaran baharu dalam hidupnya. Biarlah peluang ini dijadikan sebagai langkah permulaan atau kemunculan semula selepas bangkit daripada kontroversi lalu,” kata Haji Zil yang kini berada di Mekah menunaikan umrah.

Zeel Production yang sering memberi peluang kepada pelakon baharu telah menerbitkan banyak drama popular seperti Kelip-kelip di Kota London, Rindu Bertamu di Abu Dhabi, Haji Tak Mabrur, Seindah Takdir dan terkini Lelaki Kiriman Tuhan.