Peluang sudah menanti di depan mata, maka Remy menjadi tumpuan wartawan yang mahu mendapatkan penjelasan lanjut daripada dia sendiri mengenai rencana pernikahannya yang sehingga sekarang masih belum direalisasikan.

Sementelah pelbagai spekulasi kurang enak mengenai hubungan Remy dengan Ezza sampai pada telinga menyebabkan media mahu mendengar sendiri daripada mulut aktor tampan itu bagaimana dia menguruskan dakwaan-dakwaan yang tidak berasas.

Mengenali Remy, dia sebetulnya artis yang kurang gemar diajak bercerita hal-hal peribadi dengan orang ramai.

Namun kedatangan wartawan di depan matanya di Langkawi baru-baru ini menyebabkan dia tidak mampu mengelak yang akhirnya membuatkan dia membuka mulut bercerita dari dasar hatinya.

“Amboi! Macam tak sabar nak tengok orang putus saja! Mana ada, saya masih lagi dalam fasa bertunang. Baru setahun lebih, mana lama sangat. Bulan April tahun depan baru cukup dua tahun saya bertunang,” demikian reaksi pelakon kelahiran Melaka ini menamatkan desas-desus yang dia dan Ezza sudah putus tunang.

Bagi Remy, persoalan kenapa dia dan Ezza belum disatukan tidak sewajarnya menjadi isu yang perlu disensasikan memandangkan kedua-dua mereka mempunyai pelan masa depan yang tersendiri. 

 

Apa lagi, dalam situasi sekarang, masa tidak mengizinkan Remy melangsungkan pernikahan dengan tunangnya itu.

“Kebetulan, saya agak sibuk dengan komitmen lakonan dan belum sampai jodoh lagi agaknya. Bila Allah sekat (lambat hasrat) untuk melangsungkan majlis, mesti ada sebabnya.

"Saya percaya perkara-perkara yang baik akan datang lambat. Sebenarnya ramai juga yang sering bertanya saya pasal kahwin,” ujarnya.

Sebagai lelaki yang sentiasa berkeinginan memiliki keluarga sendiri, Remy secara peribadi, sememangnya mahu cepat berkahwin, namun itu hanya sekadar rancangannya semata-mata.

“Saya hanya manusia yang merancang, kalau boleh nak langsung segera, tapi ada benda yang tak dijangka berlaku dan saya perlu beri perhatian lebih. Macam ibu saya perlu buat pembedahan tirod dan jantungnya bengkak.

“Saya perlu berulang-alik hantar ibu untuk menjalani rawatan. Dalam hal ini saja, sudah tentu saya perlu menyediakan kewangan yang banyak untuk pembedahannya,” jelas Remy mendedahkan kekangan yang dihadapi.

Pernah juga dia mengatur tarikh untuk mempercepat pernikahan namun pada waktu yang sama, dia menerima rezeki lakonan pula.

Dalam hal ini, Remy sentiasa percaya, dia tidak perlu gopoh atau terlampau takut seandainya majlis pernikahan tertunda kerana sebagai umat Islam, pelakon filem Pulang ini sentiasa percaya, Allah telah mengatur perancangan yang lebih baik.

“Saya adalah orang yang positif dan selalu fikir ada sebab Tuhan jadikan perkara ini ada rintangan. Mungkin saya belum bersedia untuk menjadi seorang lelaki yang bertanggungjawab sebagai suami untuk menjaga anak orang.

“Mungkin belum masanya ke arah itu (nikah). Tuhan mahu saya perbetul diri sebelum memikul tanggungjawab yang berat. Saya selalu lihat perkara ini sebagai sesuatu yang positif. Kalau ada jodoh tak ke mana,” ujar Remy.

Sebagai persediaan untuk menghadapi alam rumah tangga juga, Remy atau Mohammad Zalimei Ishak, 36, sentiasa mengingatkan dirinya bahawa perkahwinan melibatkan dua jiwa dan kedua-duanya perlu saling memahami antara satu sama lain.

“Bagi saya perkara ini (perkahwinan) melibatkan dua pihak, kalau ada kekurangan pada pihak saya, pihak sana kena faham. Kalau tidak ada persefahaman di situ, tiada gunanya perhubungan itu kerana persefahaman amatlah diperlukan.

“Pihak sana juga perlu tahu saya adalah anak lelaki yang perlu jaga dan bertindak sebagai ketua keluarga. Banyak tanggungjawab saya. Jika tidak ada persefahaman di situ, susah juga untuk teruskan hubungan.

“Setiap yang berlaku kepada ketika pertunangan, semuanya bukan disengajakan tapi ketentuan Tuhan. Andai kata pihak sana tak boleh faham dan asyik mendesak, saya akan tertekan. Dari situ saja sudah tidak nampak ada persefahaman,” jelas Remy panjang lebar.

Tambah Remy, sebagai lelaki, dia juga mahu mencari pasangan yang betul-betul memahami dirinya dan kerana itu, tempoh dua tahun pertunangan dianggap sebagai masa yang cukup ideal bagi Ezza mengenali peribadinya dengan lebih mendalam.

Remy juga selalu mengingatkan kepada bakal isterinya, untuk berkahwin dengan pelakon sepertinya, Ezza harus faham dan bertolak-ansur dengan perjalanan kariernya.

“Dua tahun ini memang proses untuk dia faham. Kalau saya tidak lihat ada persefahaman di situ agak bahaya untuk saya teruskan. Jangan pula perkahwinan itu menuju perceraian atau sebagainya.

“Untuk orang faham karier saya memang sukar. Saya pernah tanya kepada orang yang sudah kahwin dan mereka akui sukar untuk dapat persefahaman. Dalam kes saya pula, kerjaya sebagai pelakon menuntut waktu kerja tidak menentu. Ada masa kerja lebih dan kadang-kadang kena pergi luar daerah sampai dua bulan, seperti penggambaran drama Lelaki Kiriman Tuhan ini.

“Bila kita tidak ada ruang untuk berjumpa, orang (pasangan) itu kena faham kenapa. Dia kena memberi sokongan moral sebab ada masanya 24 jam saya berada di lokasi. Kalau dia tidak mampu untuk faham dan mendesak, susahlah saya,” kata Remy yang mengakui sudah menerangkan situasi dan tuntutan kerjayanya kepada tunangnya itu.

Seperti pasangan lain yang pernah bertunang, Remy mengakui, alam pertunangan merupakan detik yang sangat mencabar sehinggakan dia dan Ezza pernah melalui pasang dan surut.

Namun sebagai lelaki budiman, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk berkongsi perkara yang berlaku dalam hubungan dia dan Ezza selain harus menjaga hati dan sensitiviti orang di sekelilingnya.

Sedar peminat rindukannya

SEPANJANG bergelar anak wayang bermula pada 2006, Remy dilihat antara pelapis hero Melayu yang memiliki karisma.

Trek rekod perjalanan seninya membanggakan. Sepanjang lebih 12 tahun berlakon, sudah banyak drama, filem dan teater dibintanginya.

Sekalipun lebih senang memberi tumpuan pada gelanggang perfileman, namun kali ini dia menerima tawaran Fadzil iaitu penerbit yang cukup disenanginya membintangi drama bersiri Lelaki Kiriman Tuhan yang telah disiarkan sejak 1 Oktober lalu.

Kata Remy, antara motivasinya membintangi Lelaki Kiriman Tuhan ialah kerana dia mahu mengubat kerinduan peminat.

“Saya setuju berlakon sebab sudah lama tidak berlakon drama. Ada peminat dan penonton yang suka dan sokong bakat saya dan kadang-kadang mereka tidak berpeluang ke pawagam atau menonton teater.

“Memang ada yang hanya berharap menonton drama saja dan saya perlu berlaku adil kepada setiap penyokong saya. Sebab itulah saya setuju berlakon drama bersiri ini,” kata Remy yang kali terakhir berlakon drama Kekasih Paksa Rela dan Dosa: Sacred Sin sekitar setahun lalu.

Justeru, selepas berehat seketika daripada lakonan drama, dia bersetuju membintangi Lelaki Kiriman Tuhan.

“Selepas lama tidak berlakon drama dan saya tahu ada peminat yang rindukan lakonan saya di kaca TV, saya rasa okey dalam masa setahun kalau saya terlibat dalam projek drama bersiri,” katanya lagi.

Dalam Lelaki Kiriman Tuhan, Remy bergandingan dengan pelakon Mira Filzah yang melakonkan watak Naira.

Gandingan dengan Mira, bukan kali pertama buat Remy sebaliknya mereka pernah berlakon sama dalam filem Sangkar dan Rise - Ini Kalilah.

“Dalam filem Sangkar, saya berlakon sebagai abang Mira dan dia banyak berlakon dengan Zul Ariffin. Dalam Rise - Ini Kalilah, saya tak banyak adegan dengan dia.

“Saya boleh katakan ini pertama kali melibatkan banyak adegan dengan Mira. Biarpun ini diadaptasi daripada novel tapi saya tidak baca sebab tahu yang ada dalam novel tidak dapat dizahirkan dalam bentuk visual. Saya tak mahu mengambil risiko untuk baca novel sebab saya tahu benda itu akan melukakan hati saya,” kata Remy.

Menurut Remy, seandainya dia memilih untuk membaca novel, tentu sekali dia mengharapkan jalan penceritaannya menyamai drama yang dibintangi sedangkan hakikatnya untuk menzahirkan visual yang tepat, banyak faktor dan pertimbangan perlu diambil kira yang melibatkan bajet produksi.

Justeru, Remy lebih selesa memberi tumpuan kepada skrip naskhah berkenaan.Skrip Lelaki Kiriman Tuhan diadaptasi daripada novel karya Umie Nadzimah.

Bercerita tentang watak Iqbal Raid dalam drama berkenaan, Remy berkata, wataknya memiliki graf yang pelik kerana dia memegang karakter gelap dan misteri.

Bagaimanapun pada pertengahan cerita, karakter Iqbal Raid menjadi lebih budiman semata-mata kerana mahu memikat seorang wanita.

“Saya ada fikir juga, sebenarnya bosan juga bawa watak baik ini. Harap ada pengarah yang tawarkan watak lain. Sekarang ini saya ada hobi baharu iaitu menjadi orang lain.

“Setiap kali berlakon, saya buat pemerhatian untuk menjadi orang lain. Saya suka dengan cabaran itu sebab dalam realiti kehidupan saya tidak boleh melakukannya,” kata Remy menoktahkan perbualan.