Balqis potong pendek rambutnya untuk gaya baharu.

Tampil menjelaskan perkara sebenar, Balqis berkata, keputusan memotong rambutnya tidak didorong oleh perasaan tertekan sebaliknya dia memang sengaja mahu mencuba gaya rambut baharu.

Tidak menafikan masih bersedih setelah kehilangan ayahanda tercinta, anak kelahiran Terengganu ini meminta agar semua pihak tidak membuat spekulasi yang bukan-bukan.

“Saja potong rambut pendek. Kalau kata tertekan itu, ada sikit tetapi bukan sebab itu saya potong rambut. Setiap hari ada sahaja peminat bertanya tetapi saya diamkan sahaja.

“Ada juga yang mengecam tapi bagi saya ini rambut kita, suka hati nak potong atau tidak. Mereka ini kadang-kadang sibuk sangat hendak tahu sampai semua perkara kita kena cerita,” katanya kepada UTUSAN ONLINE.

Dalam pada itu, Balqis yang baru melangsung perkahwinan dua bulan lepas juga merancang untuk melancarkan koleksi pakaiannya tidak lama lagi.

“Saya akan memulakan penggambaran bagi sebuah drama tidak lama lagi. Kalau kerjaya nyanyian itu, saya tunggu dahulu. Mahu pulihkan stamina dan emosi diri,” katanya. - UTUSAN ONLINE