Kejayaan lagu Di Matamu begitu besar sehingga membuatkan dia berada di puncak. Lantas ia menimbulkan pertanyaan, apa lagi selepas ini?

Bagi kebanyakan orang berada di puncak kemasyhuran adalah perkara yang dambakan. Ironinya perkara itu merupakan ketakutan terbesar banyak pihak memandangkan mereka akan bergelut pula mencari kejayaan lain pada masa hadapan.

 

Mendepani realiti tersebut, Sufian memahami persoalan yang dibangkitkan. Baginya tidak ada apa yang perlu ditakutkan memandangkan dia hanya menjadi dirinya yang sebenar.

“Saya sedar kejayaan Di Matamu begitu besar bukan sahaja untuk peribadi sebaliknya kepada seluruh industri. Banyak kejayaan yang dicapai oleh lagu tersebut sehingga membuatkan nama saya menjadi sebutan.

“Menjawab pertanyaan apa lagi selepas ini, saya hanya mahu menjadi Sufian Suhaimi yang terus mengha­silkan lagu-lagu yang bermutu. Tidak ada niat pun untuk ‘melawan’ lagu sendiri,” katanya membuka cerita.

Mengimbas kembali sejarah dunia seni tanah air, sebenarnya ramai dalam kalangan penyanyi berhadapan dengan kemelut untuk mencari lagu baharu selepas kejayaan lagu lama.

Ini yang menyebabkan ada penyanyi yang diletakkan dalam kategori one hit wonder meskipun sudah menghasilkan banyak lagu baharu. Bagi Sufian, dia tidak pernah takut dengan isu sebegini memandangkan kerjaya seni perlu diteruskan.

Apa yang boleh dilakukan adalah dengan memberikan mutu dan menaikkan kualiti untuk karya seterusnya terus diterima baik oleh peminat.

“Kalau difikirkan semula kejayaan lagu tersebut cukup besar. Dengan jumlah tontonan lebih 50 juta di YouTube, saya tidak fikir mampu untuk melakukannya lagi.

 

“Jika bukan saya sekalipun, orang lain pun sukar untuk memecahkan rekod tersebut. Tapi saya tidak takut dengan kejayaan yang sudah dicapai. Jika lagu akan datang kurang diterima seperti Di Matamu, saya cuba lagi,” tambahnya.

SELSESA

TIDAK dinafikan untuk mencari lagu yang mampu diterima bukanlah satu tugas mudah. Dia sendiri menggunakan kisah peribadi dan pengalaman sendiri bagi menghasilkan bait-baik indah dalam lirik Di Matamu.

Enggan lagi bernostalgia dengan kejayaan lagu itu, sudah pasti Sufian mengharapkan lagu Mencuba yang dijadikan taruhan terbaharu turut mendapat sambutan baik daripada peminat.

“Ini taruhan terbaharu saya selepas Di Matamu. Bila menghasilkan sahaja lagu ini, saya tidak mahu berfikir adakah lagu ini mampu membawa kejayaan untuk mengatasi lagu terdahulu.

“Asalkan melodi lagu tersebut sedap, bait lirik yang digunakan tepat dan diterima ramai, itu sudah memadai. Yang lain saya serahkan sahaja kepada peminat untuk menentukan hala tuju lagu ini,” katanya yang menghasilkan lagu Mencuba bersama dengan Zynakal.

Pun begitu, Sufian menjelaskan yang lirik lagu ini masih berkisar kepada kehidupan peribadinya. Apa yang dilalui dicerna menjadi kata-kata puitis bagi menyampaikan apa yang terbuku di dalam hatinya.

Tambahnya, dia lebih gemarkan kisah yang dilalui sendiri atau orang sekeliling menjadi taruhan memandangkan ia lebih dekat dengan hatinya.

“Saya percaya kita perlu meletakkan diri di dalam lagu untuk lebih mudah menyampaikan mesej.

Lirik lagu tersebut juga sebenarnya dipetik daripada kisah  sedih yang berlaku kepada diri. Cuma kalau orang mendengar mungkin mereka tidak boleh merasai secara terus, kena menghayati,” katanya.

 

 

SOALAN PANAS, SUFIAN JAWAB

Apa sebenarnya berlaku kepada kontroversi gambar ‘intim’ yang tersebar beberapa bulan lalu? Masih trauma dengan isu itu?

Sufian: Saya tak melihat isu gambar mesra yang tersebar dengan seorang wanita itu sebagai sesuatu yang besar. Bagi saya kontroversi itu bukan penamat kepada kerjaya seni memandangkan banyak hal lain yang perlu difikirkan. Saya okey dan hadapi sahaja dengan hati terbuka.

Dengar ceritanya sudah ada pengganti, betul ke?

Sufian:  Sehingga sekarang saya masih lagi solo. Bukan senang nak mencari pengganti sebenarnya. Selepas ini kalau jumpa sahaja yang berkenan, saya terus pinang nak buat isteri. Tak mahu lagi bercinta lama-lama.

Takkan tak jumpa yang berkenan? Khabarnya ramai wanita yang mencuba nasib memikat Sufian. Tak ada yang berkenan?

Sufian:  Tak dinafikan memang ada yang mencuba nasib melalui media sosial dan sebagainya. Tapi saya tidak melayan mereka pun. Kalau melibatkan soal hati, lebih baik bertemu mata dan merasai sendiri perasaan itu. Kalau dalam alam maya ni, saya tolak awal-awal.


BIDANG BAHARU

TIDAK dinafikan tahun ini sebenar­nya memberikan banyak rezeki berganda buat lelaki yang berusia 27 tahun ini. Menariknya, dia juga semakin teruja bergelar selepas lakonan sulung menerusi drama Bayang mendapat maklum balas positif.

Meskipun kali pertama dia berada di hadapan kamera bergelar pelakon, Sufian tidak menafikan lakonan bukanlah sesuatu yang sukar namun memberikan cabaran dari satu sisi lain.

“Pada peringkat awal memang saya kekok dengan suasana dan cara kerja mereka. Namun dari sehari ke sehari rasa gembira pula muncul. Namun apabila hasil tersebut ditayangkan, itu memberikan persepsi baharu kepada saya.

“Bila tengok hasil kerja sendiri, rasa seronok pula walaupun malu pada peringkat awal. Kalau ada peluang pada masa hadapan, rasanya saya akan terima,” katanya yang tidak akan sama sekali meninggalkan bidang nyanyian.

Tidak mahu juga bergelar pelakon seterusnya mengubah transisi kerjaya sepenuhnya, Sufian hanya mahukan orang luar melihat dia daripada sudut berbeza. 

Bakat boleh diasah dan dikembangkan dan dia seboleh-bolehnya mahu mencuba apa sahaja bidang baharu untuk membuktikan mampu melakukan apa sahaja
“Kalau ada tawaran yang sesuai, kenapa saya perlu tolak. Tapi janganlah minta saya mengubah haluan seni kepada bidang lakonan sepenuhnya. Saya masih gembira bergelar penyanyi,” tambah yang bakal mengeluarkan buku puisi sedikit masa lagi.