Meski tuan punya badan sekadar berkongsi gambar-gambar lama yang tersimpan rapi tiga tahun lalu sebagai memberi semangat dan motivasi kepada pesakit kanser sepertinya, wanita berusia 41 tahun itu dituduh dengan pelbagai kata nista oleh warganet.

Kunjungan eksklusif HITS ke kediamannya Selasa lalu berkesempatan menemubual pelakon yang popular menerusi drama Mat Despatch berhubung isu yang sedang panas ini.

Ikuti wawancara dengan HITS yang menyelusuri perasaannya saat menjadi mangsa buli warganet.

HITS: Kenapa Enot memuat naik semula gambar-gambar lama sewaktu sedang sakit?

ENOT: Sebenarnya itu untuk kempen laman sosial Prudential. Mreka meminta saya untuk berkongsi gambar-gambar lama. Selang beberapa minggu kemudian, saya akan memadam semula gambar itu mengikut syarat yang sudah ditetapkan. Bukan niat saya untuk meraih simpati dengan memaparkan semula gambar-gambar lama. Malah, rakan artis Nazim Othman juga pernah berbuat demikian untuk kempen yang sama.

Walaupun pernah terdetik di fikiran saya untuk tidak sesekali berkongsi gambar-gambar sedang sakit untuk tontonan umum, namun demi untuk kesedaran ramai, saya bersetuju asalkan ia memberi hasil yang positif.

HITS: Agaknya kenapa warganet menyalahtafsirkan niat Enot itu?

ENOT: Saya tidak tahu kenapa warganet menuduh saya yang bukan-bukan. Malah, ada yang melemparkan kata-kata kurang baik pada saya, mendoakan saya cepat mati dan tuduh sengaja mencari perhatian orang ramai.

Padahal di ruangan kapsyen saya telah menulis ‘throwback’ tiga tahun lepas. Entah kenapa terus tular saya tiba-tiba sakit semula.

Tolonglah baca kapsyen dahulu sebelum berkongsi maklumat. Selepas gambar saya tersebar, ramai rakan menghubungi dan bertanya tentang keadaan kesihatan saya.

ENOT

HITS: Enot sendiri yang melalui perkara itu tetapi orang luar seolah-olah seperti mengetahui segalanya. Mungkin boleh komen hal ini?

ENOT: Saya didiagnosis kanser usus pada 2012 tetapi ketika itu saya tidak terlalu mengambil berat keadaan kesihatan sehingga melarat, baharulah saya mulai sedar tentang hal itu.

Masa sakit dulu saya nyah aktif semua laman sosial termasuk Facebook kerana tidak tahan dengan tuduhan orang kata saya menipu dengan mereka-reka cerita sebagai alasan malas bekerja.

Andai betullah saya malas bekerja, lebih baik saya duduk goyang kaki dan bagi nombor akaun untuk minta bantuan. Tetapi tidak pernah sekali pun terdetik di hati nak berbuat demikian.

Kata-kata orang luar yang menyakitkan hati di saat saya sedang sakit adalah ujian yang bertimpa-timpa. Sudahlah diuji dengan penyakit kanser kemudian terpaksa memekakkan telinga mendengar tohmahan orang.

Saya tidak pernah meminta-minta bantuan pun sebab tahu ‘kederat’ masih mampu untuk bekerja menampung perbelanjaan hidup saya dan anak-anak.

HITS: Apa kata doktor tentang perkembangan kesihatan Enot ketika ini?

ENOT: Syukur Alhamdullilah, doktor memberitahu sel kanser sudah tidak ada dalam badan saya namun saya tetap berhati-hati soal pemakanan. Apa yang patut saya pantang, saya akan ambil dalam kuantiti sedikit, sekadar untuk lepaskan rasa mengidam.

Saya juga akan berjumpa doktor pada pertengahan tahun ini untuk membuat pemeriksaan lanjut.

Walaupun doktor kata saya sudah pulih tetapi saya tetap kena rawat dan lawan kanser ini. Saya penghidap kanser usus tahap kedua. Jarang dengar orang hidap kanser fasa tiga, selalunya akan merebak ke peringkat empat. Itu yang menjadi ketakutan saya jika sel kanser tiba-tiba aktif.

Yang kelakarnya, orang luar kata saya menghidap kanser tahap tiga dan ada juga yang dakwa saya tahap empat. Perkara ini sebenarnya sangat melemahkan semangat meskipun nampak sahaja badan saya besar.

HITS: Bagaimana pula dengan kerjaya seni? Masih menerima tawaran lakonan?

ENOT: Dulu memang tak ada langsung tawaran. Rasanya dua hingga tiga tahun juga saya tiada kerja. Sebab itulah saya mula berniaga kek dan makanan lain.

Tahun ini saya nak kembali semula berlakon sebab sudah benar-benar pulih. Seni ini sudah menjadi jiwa 
saya sejak bangku sekolah.

Walaupun sibuk berniaga tetapi hati tetap nak berlakon sebab di situlah kita dapat curahkan segala-galanya.

Masa saya muat naik gambar dalam Instagram, saya juga berniat nak kembali aktif dalam dunia hiburan. Tapi tak sangka bila niat nak beritahu orang yang kita sudah sihat, tiba-tiba disalahertikan.

Saya nak kembali ke dunia lakonan secara baik bukan kerana simpati orang.

HITS: Lebih lima tahun hidup sendiri selepas episod kegagalan dalam perkahwinan, apakah Enot tidak teringin untuk hidup berpasangan?

ENOT: Nak kata tak ada yang mendekati, ada juga. Tapi untuk perkahwinan kali ketiga tu saya tidak tahu. Jodoh, ajal dan maut itu semua Tuhan tentukan.

Sebab saya fikir saya ada anak perempuan. Macam-macam hal yang terjadi hingga terpampang di berita utama mengenai isu ini, semua itu buatkan saya jadi fobia.

Jadi kalau kita nak ada bakal suami pun, biarlah dia mampu membimbing saya dan anak-anak. Dia boleh jadi tulang belakang saya dan tidak mempergunakan saya, itu yang penting. Jika ada yang betul-betul sayangkan kami, ikhlas dan bertanggungjawab kenapa saya menidakkan jodoh? Tetapi setakat ini masih belum ada.