Sekalipun ada cabaran mengasuh anak kecil namun semua itu disifatkan oleh Bront sebagai ‘kesukaran’ yang indah.

“Saya akui bukan mudah membesarkan seorang anak, sekarang saya tahu mengapa orang mempunyai anak pada usia yang muda. Tetapi sejujurnya saya juga seperti ayah-ayah lain di luar sana. Tiada yang berbeza,” katanya menggambarkan waktu-waktu indah yang dilalui dengan permata hatinya itu.

Bront berkongsi kehidupannya sebagai seorang suami dan ayah dengan sekumpulan wartawan pada majlis pelancaran filem One Two Jaga baru-baru ini yang turut dihadiri isterinya, Rozi Isma dan anaknya.

Kehadiran Rozi pada pelancaran filem itu tidak hanya atas kapasiti sebagai isteri Bront sebaliknya wanita itu juga merupakan penerbit eksekutif syarikat produksi, Pixel Play.

“Selain bergelar penerbit eksekutif syarikat, Pixel Play, Rozi juga merupakan penerbit eksekutif filem One Two Jaga dan kerana itu dia (Rozi) dan anak saya berada di sini hari ini.

“Tetapi kalau lihat memang isteri saya sendiri tidak selesa untuk berada di depan, malah hari ini dia sendiri tidak mahu naik ke pentas bersama-sama,” jelas Bront lagi.

Dalam kesibukan memenuhi tuntutan sebagai anak wayang namun Bront berikrar tidak akan mengabaikan masa dan keperluan asas anaknya.

Justeru, pelakon filem Pengabdi Setan dan Anak Halal ini menegaskan, dia lebih senang untuk tidak mendedahkan anak kecilnya dalam gelanggang seni.

Kali kedua membawa anaknya ke acara yang melibatkan kehadiran media namun itu tidak bermakna wajah Adeena dibenarkan untuk dirakamkan oleh jurugambar, memadai si kecil itu diperkenal kepada wartawan sahaja.

Bahkan Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin turut memberitahu, tiada keperluan untuk dia mewujudkan sebuah laman sosial khas anaknya buat tatapan peminat.

Alasan Bront ialah pada masa ini, dia sendiri memiliki masa yang terbatas untuk meluangkan masa dengan Adeena, jadi adalah suatu perkara yang mustahil untuk menguruskan akaun laman sosial anaknya pula.

“Masa untuk anak pun tak cukup, macam mana saya nak kendalikan Instagram dia pula? Lagi pun, kami lebih selesa berada di belakang tabir daripada menjadi perhatian ramai.

“Perkongsian di laman sosial itu memanglah ada tetapi bukan untuk tontonan umum hanya di Instagram ibunya sahaja dan saya juga tidak mengikutinya,” ujar Bront berterus-terang.

Karier terus mekar

Bercakap mengenai produk terbitan terkininya berjudul One Two Jaga, harapan Bront filem ini dapat memenuhi cita rasa penonton.

“Saya tidak tahu cita rasa peminat yang sebenarnya namun saya berharap filem ini dapat memuaskan hati.

“Buat masa ini belum dapat lagi tarikh tayangan bagaimanapun saya berharap agar filem ini dapat ditayangkan pada September nanti,” katanya.

Selain Bront, filem One Two Jaga arahan Nam Ron turut dibintangi Zahiril Adzim dan Amerul Affendi.

Mendapat perhatian di negara seberang namun buat masa ini Bront nampaknya masih belum mempunyai projek di Indonesia.

Sementara tiada undangan baharu di sana, Bront mahu memberi fokus dengan tawaran-tawaran dalam negara.

“Tahun lepas memang saya rasa bersalah kerana lebih banyak waktu di sana, jadi tahun ini saya mahu lebih masa di sini. Lebih banyak masa dengan keluarga juga.

“Soal tawaran lain masih belum saya dapat kongsi tetapi ada tawaran termasuk filem dan siri televisyen antarabangsa.

“Cuma buat waktu ini saya tak dapat mendedahkan perkara itu kerana belum menandatangani kontrak,” katanya.