Dilihat sering berkongsi kemesraan dengan keluarganya dalam laman sosial, Aeril yang juga suami pelakon Wawa Zainal mengakui, bukan sengaja mahu mempamerkan kebahagiaannya kepada khalayak.

“Saya rasa yang saya buat (layan anak-anak) sama sahaja dengan ibu bapa lain, tetapi oleh sebab saya dikenali jadi setiap perkongsian saya dalam Instagram itu cepat tular.

“Tidak ada niat untuk menunjuk-nunjuk kemesraan kami anak beranak kepada khalayak, sebaliknya saya mahu simpan memori-memori ini untuk anak-anak kenang pada masa depan,” katanya.

Semakin bahagia melayari perkahwinan yang dibina, Aeril mengakui, kini lebih mengenali sikap isterinya.

Katanya, kepercayaan dan tolak ansur antara rencah yang diterapkan dalam mengepalai kehidupan berkeluarga agar tidak berlaku salah faham yang serius.

“Adatlah kalau berselisih faham antara suami dan isteri. Tetapi saya dan Wawa akan cepat selesaikan masalah supaya tidak terbawa-bawa sehingga berhari-hari.

“Sepanjang berkahwin selama tujuh tahun, boleh dikatakan satu tempoh yang mematangkan kami sebagai suami isteri. Kami berkahwin pada usia yang muda dan ketika itu, secara jujurnya memang kami ada bercanggah pendapat.

“Selepas lima tahun usia perkahwinan, kami mulai faham perangai masing-masing dan apabila perkara sama berulang (bertelagah), tiada lagi nak kena pujuk serta mengambil hati pasangan.

“Yang paling penting jangan punahkan kepercayaan pasangan. Ini yang saya tekankan dalam hubungan suami isteri,” jelasnya berkongsi rasa bahagia.

Aeril turut memberi komentar terhadap warganet yang sering meninggalkan komen-komen ‘nakal’ dalam akaun laman sosialnya.

Lebih senang untuk tidak mengendahkan komen-komen yang sengaja mahu mencetuskan provokasi, Aeril Zafrel atau Suhairil Sunari ini menganggap, perkara itu bukan suatu hal yang serius.

“Ada peminat wanita menghantar mesej kepada saya mahu jadi isteri nombor dua dan saya anggap itu gurauan. Yang saya pentingkan adalah menjaga hati isteri dan anak-anak.

“Lagipun tiada rahsia antara saya dan Wawa. Dia tahu semua kata kunci saya dan dia bebas untuk membuka laman sosial saya tanpa perlu meminta izin daripada saya.

“Saya juga bukan seorang yang perahsia dan suka selindung. Apa sahaja perkara pasti akan saya beritahu kepadanya termasuklah apabila dapat mesej-mesej nakal seperti itu,” ulasnya.

Aeril dan Wawa mendirikan rumah tangga pada 25 Februari 2012 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Ahmad Fakharuddin Attar, 5; dan Hayla Maghfirahtul Adzkiyaa, 3.

Tanah Akhirku dan Jibril

LEBIH sedekad memahat nama dalam industri seni tempatan, bakat lakonan Aeril Zafrel, 29, kini semakin bersinar malah semakin selektif memilih naskhah.

Daripada layar perak ke layar lebar dan teater menerusi pementasan Lela Manja sekitar dua tahun lalu, Aeril bakal kembali beraksi di pentas Istana Budaya bagi karya Tanah Akhirku.

Pernah menolak watak Tengku Khalis untuk karya tersebut atas alasan kekangan masa, namun Aeril kemudiannya menerima tawaran menjayakan produksi terbabit.

“Saya seorang tak suka melakukan beberapa kerja pada satu-satu masa kerana tidak mahu hilang fokus. Kerana itulah juga saya menolak dengan baik tawaran produksi Tanah Akhirku sebelum ini.

“Tetapi apabila mendapat tahu mereka masih belum mempunyai ‘hero’ untuk teater tersebut dan selepas menimbang tara semua perkara serta diberitahu yang nama saya dicadangkan oleh Abang Joe (Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani) saya akhirnya bersetuju,” katanya.

Teater Tanah Akhirku diarahkan oleh pengarah muda Naque Ariffin, 27, dan dipentaskan bersempena bulan kemerdekaan bermula 28 Ogos hingga 2 September ini.

Selain Aeril, teater kerjasama Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu membariskan pelakon antaranya Mei Fen, Erma Fatima, Izzue Islam, Angeline Tan dan Nina Nadira.

Dalam kesibukan menjalani sesi latihan Tanah Akhirku, Aeril juga membahagikan waktu untuk berada di set penggambaran drama bersiri 10 episod berjudul Jibril.

“Saya terima naskhah ini kerana watak yang ditawarkan lain daripada karakter yang pernah saya bawa. Saya memegang watak sebagai Jibril iaitu seorang autisme tetapi mempunyai kerjaya sebagai peguam.

“Cerita ini agak berat kerana memerlukan fokus yang banyak kerana saya membawa watak peguam yang memerlukan saya menghafal banyak fakta tentang klausa-klausa perundangan,” katanya.

Jibril yang merupakan terbitan Konda Kondi Studios diarahkan oleh Megat Sharizal dan akan ditayangkan mulai Oktober ini menerusi saluran NTV7 serta disusuli dalam portal video Viu.