Masakan tidak, dihujani dengan pujian apabila memuat naik gambar di laman sosial membuatkan ramai yang tertanya-tanya, adakah hati Zarul sudah dirantai dengan ikatan perkahwinan.

Namun baru-baru ini, Zarul membuat kejutan dengan membawa isterinya, Intan Nur Fathihah ke Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) yang ternyata mendapat perhatian para peminat yang selama ini tidak mengetahui status penyanyi ini.

Kepada Mega HITS, Zarul tampil menjelaskan mengapa dia ‘merahsiakan’ status perkahwinannya. Adakah dia tidak mahu keluarganya dihujani dengan perhatian atau ada sebab lain?

MEGA HITS: Tampil membawa isteri semasa AJL32 baru-baru ini, ramai yang terkejut Zarul sudah berkahwin. Adakah Zarul menerima respons sama?

ZARUL: Memang ramai peminat terkejut sebenarnya. Saya menerima banyak pertanyaan di laman sosial daripada peminat yang bertanyakan saya ini masih bujang atau sudah berkahwin

Jadi, saya buat keputusan untuk bawa isteri ke majlis hiburan, sekali gus secara tidak rasmi menjawab semua persoalan itu. Ala... sekali sekala sahaja, Bukan selalu pun.

Kenapa Zarul begitu berahsia soal isteri? Tak mahu peminat tahu atau ‘status’ bujang lebih popular?

Eh! Bukan macam itu. Peminat saya sejak zaman Umbrella dan Gegar Vaganza tahu saya sudah berkahwin. Cuma mungkin ada peminat baharu yang tidak tahu status saya.

Saya rasa lebih baik mereka (keluarga) tidak terdedah dengan dunia hiburan. Lebih privasi untuk mereka menjalani kehidupan. Saya dan keluarga lebih selesa dengan kehidupan lebih peribadi.

Maksudnya biar Zarul seorang sahaja popular?

Saya adalah artis, bukan mereka. Biarlah perhatian itu hanya saya seorang sahaja. Lagipun dunia hiburan ini pancarobanya boleh tahan. Saya tak mahu mereka terbeban sama.

Memang ramai peminat yang konon-konon ‘kecewa’ apabila tahu saya sudah kahwin tapi itu semua adalah gurauan mereka sahaja. Peminat sekarang sudah bijak menilai dan menghormati privasi artis.

Ada peminat cuba mengurat Zarulkah sebelum ini?

Memang ada peminat cuba mengurat tapi biasalah semua artis berhadapan dengan situasi ini. Malah lepas saya tunjuk isteri ada pula yang hendak jadi syurga kedua. Itu semua penangan drama sahaja sebenarnya. Gurauan semata-mata. Setakat ini tidak ada yang ekstrem. Mereka menghormati saya dan keluarga. Saya pun baca-baca begitu sahaja gurauan itu.

Apabila ada peminat yang secara berseloroh cuba mengurat, Zarul selesa atau tidak dengan perkara itu?

Secara jujur saya tidak selesa sangat tapi sebagai artis itu adalah lumrah. Kena reda sahaja, tak boleh banyak komen. Lagipun saya bersyukur dapat isteri yang sangat memahami kerjaya saya.

Bagaimana pula dengan perkembangan kerjaya. Dengar cerita ada single baharu?

Alhamdulillah, single baharu saya Remuk sudah dilancarkan dan saya sangat teruja bercampur gemuruh. Yalah, untuk mencari lagu yang sesuai pun sudah memberi tekanan.

Malah saya juga terpaksa membuat pilihan antara tiga buah lagu bagi mendapatkan karya yang benar-benar mampu menarik hati peminat dan pencinta muzik tempatan.

Betulkah ada dakwaan mengatakan lagu ini sebenarnya tajuk lain?

Sebenarnya lagu ini diberi tajuk Pemutar Bicara tetapi saya memberi kuasa undi kepada peminat sama ada kekal dengan tajuk asal atau Remuk. Akhirnya, peminat lebih suka dengan tajuk Remuk.

Macam mana dengan dunia lakonan? Nampak gaya semakin laku di pasaran?

Alhamdulillah, itulah saya pun tidak sangka sama sekali. Memang pada awalnya, ramai yang menegur lakonan saya tetapi itu memberi banyak ruang untuk saya belajar.

Saya terpaksa berehat sebentar dari dunia lakonan untuk memberi fokus sebagai tenaga pengajar dalam Mentor Otai. Selepas ini, saya akan terlibat dengan beberapa drama dan filem.