Akan tetapi, menurut penyanyi Teman Terulung itu, kekangan masa yang dihadapinya serta berasa tidak selesa menjawat posisi itu adalah faktor utama yang menyebabkannya menolak beberapa tawaran yang pernah diberikan kepadanya sebelum ini.

Katanya yang ditemui ketika pelancaran album Anuar Zain - Tiga Dekad Muzik, Cinta Dan Sanubari Live In Concert di One Utama baru-baru ini, buat masa ini dia belum bersedia menjadi juri atau mentor kerana ia bukan kegemarannya.

“Saya bukanlah terlalu menjaga nilai eksklusif yang ada pada diri. Cuma bertindak selaku juri bukan satu tanggungjawab mudah, ia perlu digalas dengan komitmen yang jitu dan tinggi.

“Jadi, saya tidak selesa dengan peranan tersebut atas kesibukan saya dan lebih gemar bergelar penyanyi. Biarlah jawatan itu disandang oleh orang atau individu yang lebih layak berbanding saya,” katanya.

Akui Anuar, sebelum ini ada beberapa produksi yang menghubunginya menawarkan peluang tersebut, tetapi dia menolaknya dengan alasan yang relevan.

Konsert mega

Pada masa yang sama, Anuar menjelaskan pihaknya sedang merangka untuk menganjurkan sebuah lagi konsert mega selepas kejayaan persembahan pertamanya di Stadium Malawati Shah Alam pada 2013.

Jelasnya, pengalaman mengurus dan menerbitkan sendiri konsert Anuar Zain - Tiga Dekad Muzik, Cinta Dan Sanubari dua tahun lalu menerusi syarikat Anuar Zain Network akan dijadikan penanda aras untuknya melakukan penambahbaikan.

“Konsert ini telah dirancang tahun lalu tetapi ditunda pada tahun ini atas beberapa masalah yang timbul. Diharap ia menjadi kenyataan dan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ini dilakukan atas permintaan peminat yang berpuas hati dengan konsert terdahulu.

“Bagaimanapun, pada 7 Februari ini, konsert Anuar Zain - Tiga Dekad Muzik, Cinta Dan Sanubari akan diadakan semula di The Star Theatre, Singapura, khas untuk peminat di sana yang ketinggalan mengikutinya sebelum ini,” beritahu Anuar yang teruja untuk mengulangi kejayaan konsert berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Anuar turut melancarkan sebuah buku album yang dinamakan The Book yang memaparkan puluhan gambar berserta kapsyen sepanjang proses berlangsungnya konsert sempena pembabitan 30 tahun dalam bidang seni itu.

Akhir sekali, Anuar berkata, dia juga sedang dalam proses merakamkan album terbaharu dan memberitahu sudah pun mempunyai lima buah lagu untuk dimuatkan dalam album berkenaan.