Mendirikan rumah tangga sejak enam tahun lalu, pelakon jelita ini mengimpikan untuk menambah bilangan anak secepat mungkin memandangkan usianya yang semakin meningkat. Pun begitu dia tidaklah meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana percaya semuanya terpulang kepada rezeki.

Biarpun persoalan ini sentiasa ditanya ke mana pun kakinya melangkah, namun Scha sedikit pun terbeban dengan perkara tersebut. Dia mahupun Awal sudah pun bersedia dari segi mental kerana sudah dapat mengagak apa yang bersarang di fikiran peminat mereka.

“Kami sedang berusaha. Semuanya terserah pada Allah. Siapa yang tidak mahu menambah anak betul tak? Lara pun sudah semakin besar. Kami dapat rasakan dia juga mampu menjadi kakak yang baik kepada bakal adiknya kelak. Apa pun doakan yang terbaik untuk keluarga kami.

“Jika dahulu sewaktu mula-mula menerima kehadiran Lara, kami memang merancang untuk menimang cahaya mata kedua kerana ingin memberi tumpuan sepenuhnya kepada Lara dan biarkan dia matang sedikit sebelum menerima kedatangan adik baru. Tetapi sekarang Lara pun sudah semakin bijak dan sudah tiba masanya untuk mengembangkan keluarga kecil kami.

“Insya-Allah jika ada berita gembira kami tidak teragak-agak untuk berkongsi dengan peminat kesayangan. Sudah pasti mereka juga teruja untuk menantikan kehadiran adik Lara sama seperti kami. Pun begitu kami tidaklah terburu-buru jika ada rezeki kami yakin itu adalah masa yang terbaik” tutur Scha atau nama penuhnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir.

Memandangkan dirinya mahupun suami sibuk dengan aktiviti seharian yang padat. Namun itu bukanlah alasan untuknya mengabaikan permata hatinya itu. Sebolehnya dia dan Awal sentiasa cuba mengutamakan Lara dalam apa segala hal sekalipun.

“Lara sedang dalam proses membesar dan sangat memerlukan kami sentiasa berada di sisinya. Saya tidak mahu terlepas kenangan indah ketika dia membesar. Sebab budak-budak dalam usia ini sedar tak sedar cepat membesar. Rasa baru semalam dia hadir dalam hidup kami.

“Setiap hari saya akan susun jadual dan pastikan ada masa untuk keluarga terutamanya untuk Lara. Kalau seharian kami tak berjumpa, balik sahaja saya akan tidur bersamanya dan keesokan harinya pula saya akan ambil tugas untuk siapkan dia ke sekolah.

“Jika saya ada kerja di luar dan tidak boleh bersama dengannya, Awal pula yang akan ambil alih tugas tersebut. Pendek kata kami berdua akan sentiasa duduk berbincang tentang tugas menjaga Lara. Dah lama kami praktikkan cara ini dan ternyata cara tersebut menjadi. Buktinya Lara sentiasa dekat dengan kami,” katanya.

Rezeki

Menyentuh tentang perkembangan terbarunya pula, dia kini sedang menjalani penggambaran Hero Remaja selain baru sahaja selesai penggambaran drama 23 episod berjudul 3 Dara Kampung Dot Com.

Dalam masa yang sama, dia dan suami Awal Ashaari baru sahaja membuka butik Schawal Store di Jakel Mall, Kuala Lumpur selain melancarkan produk wangian Blue dan Maroon.

“Wangian ini merupakan kolaborasi pertama kami suami isteri yang mana keistimewaannya adalah inspirasi daripada detik awal perkenalan kami berdua. Blue merupakan bauan maskulin daripada pelbagai jenis tumbuhan sementara Maroon pula lebih kepada sentuhan feminin,” ujarnya.

Merupakan antara selebriti yang sering diberi kepercayaan untuk bergelar duta, dia masih lagi kekal bersama minuman susu kultur Yakult dan beberapa jenama popular yang lain.

“Alhamdulillah masih diberi kepercayaan menjadi duta kepada beberapa produk. Saya hanya pilih apa yang saya percaya. Produk tersebut mestilah sesuai dengan saya dan keluarga yang paling penting ia memberi kebaikan kepada kami.

“Misalnya untuk Yakult semestinya ia bagus untuk sistem pencernaan saya dan keluarga. Bila usus kita sihat, makanan yang kita makan akan lebih mudah untuk diserap. Jadi sistem imunisasi kita pun bertambah kuat sebab adanya bakteria baik,” ujarnya.

Selain Scha, Yakult juga baru sahaja melantik penerjun negara,Pandelela Rinong sebagai salah seorang duta baharu dan berharap dapat membantu menyerlahkan lagi prestasi ratu terjun kelahiran Sarawak ini.

Pelajaran

Sedekad bergelar pelakon, Scha masih belum puas lagi meneroka bidang lakonan. Biarpun dikira cukup berpengalaman dan berjaya membawakan apa sahaja watak yang diberi dengan berkesan namun pelakon yang popular menerusi drama bersiri Awan Dania ini tidak pernah merasakan dirinya bagus.

Malah dia sentiasa memegang prinsip buat sehabis baik sejak dari awal menapak dalam bidang lakonan lagi. Kerana itu tidak hairanlah kenapa dia masih kekal menjadi buruan penerbit sehingga ke hari ini. Memiliki keistimewaan dan bakat yang tersendiri, namanya kini sebaris dengan pelakon-pelakon popular lain.

“Setiap kali diberi tawaran saya akan ingatkan diri yang mana saya masih dalam proses pembelajaran. Kerana itu, apa sekali pun watak yang diberi saya akan berusaha sehabis baik untuk menjayakannya. Kalau boleh setiap karektor tersebut mampu mewujudkan kesan positif dan seterusnya memberi impak yang baik pada peminat.

“Sebagai pelakon, sebenarnya kita sendiri dapat merasakan apa yang kita lakonkan itu berjaya disampaikan atau sebaliknya. Jika kita buat sekadar tangkap muat sahaja ia akan memberi kesan terhadap mutu lakonan kita juga. Pada akhirnya orang akan memperkatakan tentang diri kita. Itu yang sebolehnya cuba saya elakkan,” kata Scha.

Ditanya watak yang diidamkan olehnya, dia teringin sekali membawa watak seorang wanita yang kuat dan dihormati. Tak kisah dari segi apapun tapi yang pasti individu tersebut mestilah seorang yang kuat dan punya kehebatan tersendiri.

“Sudah tentu watak berat seperti itu mampu menguji tahap kewibawaan sebagai pelakon. Sebagai contoh, bukan mudah kita nak bawa watak menjadi orang lain. Kena kaji individu tersebut untuk beberapa tempoh waktu. Tapi jika individu tersebut telah tiada itu lebih mencabar,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dia bukanlah seorang yang begitu selektif dalam pemilihan watak. Namun dia bersyukur kerana sehingga ke hari ini setiap watak yang ditawarkan sesuai dengan karektor dirinya. Itu sudah cukup membuktikan pihak pengarah mahupun produksi sangat mengenali siapa dirinya.

“Saya sentiasa berfikiran jauh ke hadapan. Apa yang saya buat hari ini saya mahu ia meninggalkan kesan di hati semua orang kelak. Kalau boleh saya ingin bergelar pelakon versatil yang mampu menjayakan apa sahaja watak yang diberi,” tutur nya lagi.