Selama membabitkan diri dalam bidang seni, belum pernah nama Kaka dikaitkan dengan cerita panas sebegini kerana anak saudara Ratu Rock, Ella itu adalah antara artis yang bersih daripada sebarang gosip.

Seperti sudah dapat jangka soalan daripada Hits, Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, terus ketawa mengekek sebelum menjawab.

“Kalau orang yang mendengar pun terkejut, apa lagi dengan Kaka yang dituduh sebagai perampas ni. Kaka sendiri tidak tahu macam mana cerita ini boleh ditimbulkan oleh portal berkenaan. Baik tanya mereka, dari mana dapat cerita itu.

“Secara peribadi, Kaka rasa cerita itu cukup kelakar kerana Kaka bukannya kerap berjumpa dengan Tasha atau kekasihnya itu. Memanglah kami pernah bertemu, itupun jika ada majlis.  Lagipun kami bukannya rapat sangat. Apa yang Kaka boleh kata, jangan kaitkan Kaka dalam perhubungan mereka kerana itu semua bukan hal Kaka,” katanya,  menepis tuduhan yang dia adalah orang ketiga yang menyebabkan hubungan antara Tasha dan Han putus, baru-baru ini.

Kaka yang mula dikenali menerusi lagu Bawaku Pergi, duet bersama Zizan pada 2012 berkata, dia juga tidak pernah menghubungi Tasha selepas gosip itu timbul untuk mengetahui cerita lanjut tentang ‘kisah tiga segi’ itu. 

Bagi Kaka, apa yang berlaku biarlah diselesaikan oleh Tasha dan Han kerana dia tidak wujud dalam episod percintaan mereka.

Malah kata Kaka, gara-gara gosip itu namanya yang sebelum ini berada dalam zon bersih, sedikit tercalar. 

Namun sebagai artis, dia sedar itulah dugaan yang perlu dihadapi apabila membabitkan diri dalam dunia hiburan.

“Tidak dinafikan cerita itu membuatkan ada sesetengah pihak pandang sebelah mata pada Kaka. Bagaimana pun Kaka tetap bersyukur kerana ibu tahu cerita sebenar.  Lagipun ibu sudah lama terdedah dengan cerita-cerita begitu

sejak Ella mula jadi penyanyi lagi. Jadi dia tidak mudah melatah.

“Bagi Kaka, sekarang ini bukan waktu untuk terjebak dengan cerita atau kisah sebegitu kerana Kaka lebih senang untuk tumpu perhatian pada single baharu yang berjudul Bukan Hal Aku.  Rasa-rasanya, single Bukan Hal Aku itu kena dengan cerita yang diperkatakan,” katanya ketawa.

Sleeq jadi pasangan

Lagu Bukan Hal Aku yang akan dilancarkan pada 24 Mac ini merupakan lagu ciptaan The Good Fellas yang menggandingkan Kaka dengan kumpulan Sleeq. Bila ditanya kenapa pilih Sleeq sebagai pasangan duet selepas Zizan 

Razak dan kenapa tidak tampil solo, Kaka punya jawapan sendiri.

“Bukan Kaka takut untuk tampil solo. Sebelum ini Kaka pernah tampil solo dengan lagu Terpulanglah. Lagu Bukan Hal Aku memang dibuat untuk duet. Ini adalah kali kedua Kaka bergandingan dengan Sleeq.

Kali pertama mereka jemput Kaka untuk berduet dengan dalam lagu Perjalanan. Rasa tidak puas sahaja bekerjasama dengan mereka sebab itulah Kaka undang mereka berduet bersama dalam lagu Bukan Hal Aku.

“Awal-awal dengar lagu itu memang ada bahagian rap dan Kaka rasa Sleeq sesuai kerana kena dengan suara Alyph kerana Bukan Hal Aku berkonsepkan irama hip hop dan R & B,” cerita Kaka yang merupakan artis di bawah pengurusan Upraising Entertainment.

Selepas menghasilkan single Bawa Daku Pergi, Infiniti Cinta dan Terpulanglah, Kaka berhasrat untuk menghasilkan album penuh yang memuatkan lapan buah lagu.

“Insya-Allah kalau tiada aral melintang, album Kaka akan dikeluarkan pada hujung tahun ini dan sekarang ini sedang kumpul bahan lagi,” katanya.

Berlakon filem

Biarpun nyanyian masih lagi menjadi keutamaan kepada Kaka, pada waktu yang sama, dia tetap mencuba nasib dalam bidang lakonan. Terbaharu, Kaka bakal muncul dalam filem Tujuh Dimensi Alif, arahan Faisal Ishak yang diterbitkan oleh Astro Shaw, di mana dia berlakon bersama Juliana Evens, Alif Satar dan Izzue Islam.

“Dalam filem itu Kaka berlakon sebagai kawan kepada Juliana dan watak Izreen yang dibawa mencabar bagi orang baharu seperti Kaka kerana kena jadi mangsa rasuk. Sebenarnya dalam kehidupan seharian, Kaka memang suka mengusik adik dan jadi macam orang kena rasuk. Mungkin pengalaman itu boleh diguna pakai,” katanya ketawa.

Dalam pada itu, kata Kaka, dia juga sedang menjalani penggambaran drama 13 episod, Dunia Generasi Baru yang bakal disiarkan di TV9. 

Malah rezeki Kaka juga  murah kerana dia baru sahaja diikat kontrak selama enam bulan untuk menjadi wajah bagi produk Inner Shine bersama Marsha 
Milan dan Hunny Madu.

“Sebenarnya sebelum dilantik menjadi wajah untuk produk itu, Kaka terlebih dahulu menjadi pengguna dan produk itu sesuai dengan Kaka, sebab itulah bila ditawar terus terima. Bagi Kaka, bila  sudah mencuba produk berkenaan barulah boleh setuju kerana apabila orang tanya, Kaka boleh cerita apa yang dialami,” jelasnya tanpa selindung.