Malah, menjadikan ia satu catatan sejarah peribadi apabila filem arahannya itu cemerlang dalam industri perfileman dan berjaya mencatatkan kutipan RM 1 juta hanya dalam masa sehari sejak ditayangkan secara rasmi pada 14 Januari lalu.

Kemas kini terbaharu yang diperoleh, Mat Moto terus unggul dengan hasil kutipan tiket menghampiri RM5 juta dalam tempoh seminggu di pasaran.

“Jujurnya waktu filem ini sudah siap dan menunggu tarikh tayangan, saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi menerusi cerita ini. Lagipun ia merupakan percubaan pertama saya duduk di kerusi pengarahan, maka masih banyak lagi yang perlu diberi perhatian.

“Saya hanya letak sasaran bagi hari pertama tayangan sebanyak RM500,000 sahaja. Tapi tak sangka pula bila terima khabar gembira dari penerbit, Datuk Yusof Haslam apabila Mat Moto telah mencecah RM 1 juta.

“Alhamdulillah, saya tak dapat nak gambarkan kegembiraan itu bagaimana bila dimaklumkan sendiri oleh penerbit pada pukul tiga pagi. Lebih-lebih lagi, lepas empat hari sahaja ditayangkan, ia telah mencatat kutipan RM3 juta.

“Sekarang, hanya sedikit sahaja lagi menghampiri RM5 juta. Angka yang saya sasarkan bagi kutipan keseluruhan filem ini dan moga ia tercapai,” katanya.

Malah rentetan dari isu panas mengenai pembikinan filem ini bersama pengarah Ahmad Idham terdahulu turut mempengaruhi hasil kutipan dan Pekin tidak menafikan perkara berkenaan.

“Ya, saya ambil tempoh setahun untuk siapkan Mat Moto dan ketika itu pelbagai cabaran terpaksa saya lalui. Tapi saya juga tidak menolak jumlah kutipan filem ini dipengaruhi daripada kontroversi yang berlaku sebelum ini.

“Saya dah buktikan ini yang terbaik pernah dilakukan. Syukur kerana diberi kekuatan dan semangat untuk terus perjuangkan hasil karya sendiri dan harap dengan sokongan semua pihak mungkin akan ada sekuel kedua. Apa pun boleh berlaku,” ujarnya.

Selain Pekin, Mat Moto turut mendapat sentuhan karya sutradara muda, Syafiq Yusof dalam berkongsi cetusan idea dan pendapat bagi menonjolkan satu kombinasi yang cantik dari aspek persembahan.

Mat Moto digarap berdasarkan daripada pemerhatian dan kajian tentang kisah realiti kehidupan sebenar mat motor yang sering disalah anggap oleh sebilangan masyarakat.

Menurut Pekin, plot penceritaan Mat Moto telah diadaptasi 80 peratus dari kisah benar dan selebihnya itu ditambah bagi tujuan komersial.

“Mungkin dari segi judul sahaja akan timbul pelbagai reaksi negatif. Sebenarnya filem ini bukanlah kisah yang menceritakan tentang gejala sosial dan perlumbaan haram.

“Kita pernah disajikan dengan beberapa filem berunsurkan permotoran sebelum ini, tapi rasanya konsep dan idea asal cerita ini jauh berbeza. Saya nak orang tidak menyalah tafsir golongan ini sebagai mat rempit.

“Dalam cerita ini saya tonjolkan kisah seorang Mat Moto yang mempunyai minat sukan permotoran tapi dalam masa sama tidak pernah lupa kewajipan sebagai orang Islam sejati,” ujarnya.

Sementara itu, bagi Syafiq sendiri, dia tidak mengalami sebarang masalah ketika mengarahkan filem ini bersama Pekin. Menjadikan kerjasama yang pernah terjalin sejak pelakon itu membintangi filem arahannya sebelum ini, semua jadi mudah.

“Tiada masalah pun menjalinkan usaha sama dengan Pekin sebab sebelum ini dia dah pernah berlakon di bawah arahan saya seperti filem Vila Nabila.

“Saya berbesar hati sebab beri peluang kepada Pekin untuk dia cuba jadi seorang pengarah. Apa yang boleh saya katakan, dia mempunyai banyak garapan idea yang bernas yang saya kira tidak boleh disia-siakan. Dia tahu apa yang dilakukan,” kata Syafiq mengulas lanjut.

Dengan menggunakan tagline Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit, filem ini merupakan hasil terbitan tiga buah produksi iaitu Skop Production, Viper Studios dan Fimtab.

Mat Moto antara filem wajib tonton tahun ini. Keberkesanan sinematografi serta paparan kamera yang terbaik, mampu menarik minat penonton untuk ke pawagam.

Penulis percaya daya penarik bagi penonton terus melekat di kerusi wayang apabila terpampang wajah-wajah pelakon popular tanah air di filem itu.

Penampilan khas seperti Datuk Rosyam Nor, Faizal Hussein, Shaheizy Sam dan Syamsul Yusof menerusi filem ini boleh dikatakan sebagai bahan pelaris untuk menjual tiket meskipun babak untuk mereka tidak banyak.

Selain nama yang disebutkan penulis, pelakon lain yang turut sama berlakon ialah Falisha Crossley, Cat Farish dan Zulhuzaimy turut membantu mencantikkan warna filem ini. - Gambar FARID JANUDIN

Sinopsis

Mengisahkan tentang AL (Pekin) yang mempunyai sebuah syarikat penyuntingan filem telah mengembara ke empat negeri demi menunaikan hajat sahabatnya untuk memiliki empat jenama topi keledar yang berbeza.

Topi keledar yang sememangnya menjadi kegilaan para peminat sukan motor itu merupakan hajat terakhir rakannya sebelum meninggal dunia.

Dalam masa yang sama, Shika (Falisha Crossley) seorang pelajar pratikal di pejabat AL mengikuti pengembaraannya untuk mencari topi keledar tersebut. Ketika itu bermula bibit cinta di antara mereka. Namun ia terhalang dek kerana satu peristiwa yang dirahsiakan Shika.

Filem ini ditayangkan serentak di seluruh pawagam tanah air bermula 14 Januari lalu.