Kuala Lumpur-27Mac 29015-Azizah MAhzan semasa teater Kena Main

Bukan sekali dua orang bertanyakan hal tersebut kepadanya tetapi bagi wanita ini, dia sebenarnya sudah terbiasa hidup sendirian tanpa suami sepanjang tempoh itu.

“Sebenarnya saya bukan serik nak berkahwin atau mengenali mana-mana lelaki. Tapi bila sudah lama hidup sendirian membuatkan saya rasa selesa dengan situasi tersebut.

“Saya juga bukan anti perkahwinan dan tak menolak sekiranya dalam waktu terdekat saya bertemu jodoh,” ungkap Azizah membuka cerita.

Bagi wanita yang berasal daripada Johor ini, jika tidak terlibat dalam penggambaran, dia lebih senang mengisi masa lapang dengan pelbagai aktiviti luar termasuk mengembara.

Jika tidak mengembara ke luar negara, Azizah akan memilih kaki gunung atau kawasan hutan sebagai tempat untuk merehatkan minda.

“Saya memang orang yang perlukan aktiviti sebegini. Setiap kali ada masa terluang saya pasti akan ke sana untuk mencari ketenangan.

“Anak tunggal saya pun sudah berusia 32 tahun dan saya ada banyak masa terluang. Hanya itulah sahaja cara untuk saya menghabiskan masa jika tidak terlibat dengan penggambaran,” katanya lagi.

Bagi Azizah, dia sebenarnya ‘serik’ untuk bercuti ke luar negara yang mempunyai kepadatan penduduk yang ramai memandangkan dia menghadapi masalah untuk berhadapan dengan kesesakan.

Mengakui perasaan trauma untuk berhadapan dengan ramai orang merupakan masalah sejak sekian lama, Azizah pernah mengalami situasi hampir pitam ketika berada di Indonesia dan Filipina beberapa tahun lalu.

“Saya memang ada masalah itu sejak dahulu lagi. Sebab itu saya jarang terlibat dalam mana-mana karnival atau mengembara ke negara yang mempunyai penduduk yang ramai.

“Apabila berhadapan dengan situasi berkenaan saya akan pening, loya dan muntah. Sama juga hal dengan pementasan teater, jika berada di atas pentas saya akan pitam jika lihat penonton terlalu ramai.

“Seboleh-bolehnya saya tidak akan memandang ke dewan. Bila sudah tamat pementasan barulah saya berani melihatnya,” katanya tertawa.

Selektif

 

MELIHATKAN perjalanan seni wanita ini, tidak dinafikan dia seringkali diberikan peranan besar untuk menggalas tanggungjawab menghidupkan sesebuah naskhah sejak dahulu lagi.

 

Namun sejak akhir-akhir ini, wajah Azizah hanya muncul sesekali di kaca televisyen dan membuatkan ramai tertanya-tanya ke manakah pelakon ini menghilang.

Mengakui sepanjang tahun lalu dia hanya mengambil tiga sahaja tawaran drama, Azizah sebenarnya cukup selektif setiap kali diberikan tawaran oleh pihak produksi.

“Memang kebanyakan tawaran lakonan saya perhalusi dahulu. Tak semua tawaran saya terima walaupun saya memang ada masa yang lapang.

“Bukan apa, kebanyakan skrip yang mereka berikan kosong dan tak menarik perhatian. Saya tidak akan terima hanya kerana wang semata-mata,” tegas wanita yang berusia 53 tahun ini lagi.

Bagi Azizah, dia cuba sedaya upaya untuk menghidupkan setiap watak yang diberikan sehingga terbawa-bawa ke dalam kehidupan seharian.

Terdahulu, dia diberikan tanggungjawab sebagai wanita yang menghidap penyakit alzheimer menerusi drama bersiri Kasih Di Wajahmu yang disiarkan di RTM.

Mengakui mengambil masa tiga bulan untuk berehat sebaik sahaja habis penggambaran, semua itu dilakukan untuk ‘membuang’ karakter yang sudah melekat dalam dirinya ketika itu.

“Memang setiap kali habis berlakon mana-mana drama atau telefilem, saya akan mengambil masa untuk berehat selepas itu.

“Saya tak boleh nak terus ‘melompat’ ke set penggambaran yang lain macam orang lain. Bagi saya, masa itu penting untuk saya keluar daripada sesuatu watak.

“Saya melakukan sesuatu amanah yang diberikan bersungguh-sungguh. Dalam fasa berehat itu saya akan gunakan untuk membaca atau membuat kerja-kerja lain di rumah sehinggalah saya bersedia untuk menerima tawaran yang lain,” katanya berterus terang.

Terbaru, Azizah sedang menjayakan pementasan teater Kena Main di Istana Budaya bermula 27 Mac sehingga malam ini.

Teater arahan Khalid Salleh itu turut dilakonkan oleh Eman Manan, Aida Othman, Sani Sudin ,Ebby Saiful, Sabri Yunus, Fauziah Nawi, Azman Hassan dan Rodhi Md Nor.