Mengakui bertuah dilahirkan dalam keluarga seni, namun anak teruna kepada Ratu Keroncong Malaysia, Nas Adilla serta anak saudara kepada pengacara dan selebriti popular, Raja Azura ini tidak mahu dibayangi sesiapa.

Menurut pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Seksyen 9, Shah Alam ini, dia sentiasa menjadikan ahli keluarganya terutama ibu sebagai rujukan utama dalam memulakan langkah sebagai seorang artis.

“Ada yang kata saya ini berangan-angan saja. Tapi saya anggap kata-kata itu sebagai satu cabaran. Jadi saya tidak boleh main-main. Saya mahu buktikan saya boleh menyanyi dan kata-kata mereka itu salah.

“Alhamdulillah, saya berasa bertuah kerana dikelilingi ahli keluarga berdarah seni. Mereka banyak memberi sokongan, bantuan dan tunjuk ajar mengenai dunia muzik.

“Saya sentiasa merujuk kepada ibu tentang apa saja berkaitan muzik termasuk dari segi vokal. Saya masih berusaha memperbaiki mutu vokal saya,” katanya.

Darah seni yang mengalir dalam dirinya mendedahkan remaja ini kepada bidang muzik seawal usianya lapan tahun. Berbekalkan suara yang besar dan unik, dia yakin mampu bersaing dalam industri muzik tempatan bersama barisan penyanyi lama dan baharu.

Tidak hanya menyanyi, dia yang mempunyai kemahiran bermain alat muzik seperti gitar dan piano, tampil membawa imej yang berbeza. Dalam masa sama dia mahu dikenali sebagai seorang atlet.

“Sebenarnya di sekolah saya seorang atlet dan aktif dalam sukan maraton dan bola sepak.

“Saya rasa belum ada lagi penyanyi yang pada masa yang sama juga seorang atlet. Selain itu, dari segi imej dan penampilan pula, ibu dan bapa saya banyak memberi nasihat mereka,” tuturnya.

Jiwa sentimental

Menggemari lagu-lagu berirama balada yang disifatkan sesuai dengan vokalnya, Prince Affa percaya single pertamanya yang berjudul Lafazkan Cinta boleh mendapat tempat di hati peminat.

Single Lafazkan Cinta merupakan hasil ciptaan sepenuhnya komposer berkaliber, Jari yang juga bapa saudaranya. Lagu tersebut menceritakan perihal seorang jejaka meluahkan perasaan cintanya terhadap seorang wanita menerusi lagu.

Berkongsi pengalaman merakamkan lagu tersebut, Prince Affa mengakui ia bukanlah sesuatu yang mudah dan cukup memenatkan.

“Saya memang suka menyanyikan lagu balada, lagipun ia cepat sampai ke jiwa saya. Tetapi saya akui sepanjang proses rakaman lagu ini, banyak teknik yang perlu saya pelajari bagi memastikan ia dihasilkan dengan sempurna.

“Sangat memenatkan kerana lagu ini agak susah untuk dinyanyikan lebih-lebih lagi ketika bernada tinggi,” katanya yang pernah merakamkan lagu hari raya bersama ibunya, tahun lalu.

Dalam pada itu, Prince Affa juga memberitahu dia ada menulis dua buah lagu, namun buat masa ini masih belum yakin untuk menyanyikan lagu ciptaan sendiri. Sebaliknya dia lebih selesa bekerjasama dengan Jari.

“Saya ada cipta dua lagu. Satu lagu sedih bertajuk Tiba-tiba Saja dan satu lagi bertajuk Menunggu Dirimu. Tapi belum ada perancangan untuk melancarkan lagu tersebut.

“Buat masa sekarang saya percaya dan lebih selesa menyanyikan lagu ciptaan Pak Long. Saya rasa lebih mudah bekerja dengan ahli keluarga sendiri berbanding dengan orang lain,” katanya.

Tak abai pelajaran

Bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, pemilik nama sebenar Tengku Indra Muzaffar Tengku Ngah Putra ini berkata, walaupun sibuk dengan aktiviti seni, dia tidak mengabaikan pelajarannya.

“Saya bersekolah pada sesi pagi sehingga pukul 1 petang. Cara saya bahagikan masa adalah dengan mengikut jadual yang sudah diatur.

“Walaupun nanti sibuk dengan karier, saya tetap tidak mengabaikan pelajaran. Apatah lagi tahun ini saya akan menduduki SPM.

“Jadi, mulai Ogos nanti saya akan berhenti sekejap daripada aktiviti seni dan tidak menerima apa-apa tawaran,” jelas anak kedua daripada empat beradik ini sebelum mengakhiri perbualan.