Kelompok ini yang disokong sepenuhnya oleh peminat akhirnya mencipta insan seni yang lebih berjaya dalam bidang keusahawanan sehingga mampu meraih lebih banyak pendapatan berbanding bidang utama mereka sebelum ini.

Penyanyi dan pelakon Alif Satar tidak ketinggalan mula melangkah ke bidang perniagaan. Walau masih memilih trend yang sama iaitu membuka kafe tetapi pilihan lokasi perniagaan utamanya agak berbeza.

Alif yang juga pengacara popular memilih Kota Kinabalu, Sabah sebagai lokasi untuknya memulakan perniagaan A’s Café yang memfokus kepada hidangan pelbagai jenis masakan kampung.

Lokasi tersebut walaupun jauh dari Kuala Lumpur, menjadi pilihan utama Alif kerana dia merasakan Kota Kinabalu sebuah bandar yang cukup memberi ketenangan kepada dirinya.

“Memang sengaja saya pilih Kota Kinabalu kerana saya sangat sukakan bandar ini. Tenang dan damai bila kita berada di sini.

“Jadi bila merancang mahu membuka kafe, saya sudah tak fikirkan tempat lain yang lebih sesuai melainkan di Kota Kinabalu.

“Sebenarnya hajat nak membuka kafe ini sudah lama sejak lima tahun lepas tetapi waktu itu masih belum punya keberanian dan semangat lagi. Modal pun tak berapa kukuh jadi pendamkan dahulu sehingga tiba masa yang sesuai.

“Sekarang ini adalah masa terbaik untuk saya melangkah ke dunia perniagaan.

“Boleh dikatakan ini adalah perniagaan keluarga kerana mak dan ayah saya tolong menjaga kafe tersebut kerana mereka sudah pun bersara,” kata Alif.

Bagaimana pun kata Alif, 
kafe yang berkonsepkan kontena itu masih cuba diperkemas sedikit demi sedikit bagi menjadikannya lebih menarik dan mampu mengundang tumpuan ramai.

“Tentang menu pula, memang kami fokuskan kepada menu Semenanjung dan masakan kampung agar mereka yang berada di sana boleh mengubat kerinduan kepada kari, laksa Penang, nasi lemak dengan ayam rempah dan pelbagai jenis goreng yang bercitarasakan selera orang Semenanjung,” kata Alif.


 

 

Lokasi strategik

 

Ketika pembukaan hari pertama tiga minggu lalu, sambutan yang diberi kepada A’s Café cukup meriah apabila 500 peminat dan pengunjung memenuhi kafe tersebut.

“Tak sangka juga waktu kami buat pembukaan dan pengenalan kafe ini, ramai yang datang. Seronok rasanya apabila kami menerima komen positif daripada mereka.

“Lokasi A’s Café di Yayasan Sabah ini memang strategik kerana berhadapan dengan padang dan boleh menjadi tempat lepak semua golongan. Boleh dikatakan kawasan tarikan pelancong.

“Yang membuatkan saya gembira dengan pembukaan kafe ini juga ialah kerana dapat memberi peluang kepada orang lain untuk mencari rezeki dan bekerja dengan saya, sekali gus membantu anak-anak muda di sana.

“Jangan bimbang harga makanan di A’s Café berpatutan dan mampu dinikmati oleh semua orang. Saya sendiri sangat suka berada di Kota Kinabalu sebab orang di sana sangat ramah dan baik-baik belaka,” kata Alif.

Pembukaan kafe pertamanya itu akan membuatkan Alif kerap berulang-alik ke Kota Kinabalu bagi memastikan kelancaran perniagaannya berjalan seperti yang dirancang.

“Boleh dikatakan Kota Kinabalu sudah menjadi rumah kedua kami sekeluarga. Saya pun sudah menyewa sebuah rumah di sana untuk memudahkan proses berulang alik. Tak perlulah tinggal di hotel lagi.

“Kereta pun sudah ada di sana untuk memudahkan saya bergerak ke sana sini. Semua itu dengan pertolongan kawan-kawan yang ramai tinggal di bandar tersebut.

“Mereka jugalah yang sangat menyokong keputusan saya untuk membuka kafe di sana,” kata Alif mengakhiri perbualan.