Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Budaya yang memanusiakan manusia

AKIBAT pembangunan banyak yang terpaksa dikorbankan atas nama
AKIBAT pembangunan banyak yang terpaksa dikorbankan atas nama kemodenan. Maka budaya perlu menjadi asas pendidikan utama supaya manusia kembali menjadi manusia dengan berpaksikan budaya. - Gambar hiasan

PEMBANGUNAN ekonomi, sains dan teknologi tanpa diseimbangkan dengan pembangunan budaya pincanglah masyarakat.

Kini masyarakat kita telah pincang: pembunuhan, rompakan, perogolan, rasuah, penyelewengan, penyeludupan, penggubahan wang haram, penyalahgunaan dadah, buli, sering berlaku di mana-mana.

Tertera di dada akhbar, berita radio dan televisyen, pada setiap hari dan malam. Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berperanan besar mengemukakan dan membanteras gejala-gejala itu.

Kita akur dan memberi penghargaan kepada institusi-institusi tersebut. Namun, sewajarnya kita juga berperanan untuk mengatasi gejala-gejala yang memporak-perandakan masyarakat di negara kita yang merdeka dan berdaulat.

Suara ini adalah suara rakyat yang sewajarnya pihak pemerintah terima dan mempertimbangkannya demi kesejahteraan rakyat dan keharmonian negara.

Berlakunya gejala-gejala tersebut tidak lain dan tidak bukan kerana pendidikan ‘budaya’ tidak benar-benar diterapkan ke dalam diri rakyat dan masyarakat.

Kita menyedari bahawa: Budayalah yang memanusiakan manusia! Mengajar erti bertimbang rasa, bersimpati dan bersifat perikemanusiaan.

Jika sekiranya negara kita begitu fokus dalam pembangunan hanya kepada pembangunan ekonomi, sains dan teknologi semata-mata tanpa menyeimbangkan dengan pembangunan budaya akan ‘merobotkan’ masyarakat!

Masyarakat yang kurang berperikemanusiaan. Ertinya masyarakat kita menumpukan penghidupan kepada material sehingga lupa kepada nilai-nilai kemanusiaan atau budaya.

Misalnya pelajaran sastera di sekolah-sekolah sekarang diketepikan, sedangkan pelajaran itulah yang membentuk peribadi dan membudayakan hidup anak-anak kita.

Kita sama sekali tidak anti ekonomi, sains dan teknologi demi pembangunan rakyat dan negara, namun pembangunan budaya hendaklah diterapkan bersama.

Dihayati bersungguh-sungguh oleh masyarakat. Negara-negara maju dan membangun, meskipun mereka begitu maju dengan pembangunan ekonomi, sains dan teknologi, namun pembangunan budaya diseimbangkan seperti Jepun, Korea, China, Jerman, Rusia atau Perancis.

Lihat negara Jepun, rakyatnya begitu berbudaya, mereka menghormati antara satu sama lain.

Diterapkan

Sama ada antara pemimpin dan rakyat biasa – sentiasa menunduk dan memberi hormat. Kecurian atau perompakan terbatas. Letak saja di mana-mana barang, tidak akan diambil orang, jika mengambil pun diserahkan kepada pihak polis.

Di negara kita? Bukan saja barang-barang yang hilang diambil orang, perompakan atau kecurian berlaku di mana-mana meskipun dalam Perlembagaan negara tercatat agama Islam sebagai agama Persekutuan!

Kerana itu aspek 'budaya’ sewajarnya kembali diterapkan kepada jiwa masyarakat kita terutama sekali dalam sistem pendidikan negara – melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

Saranan yang dikemukakan oleh Dr. Chandra Muzaffar (Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia) dalam Konvensyen Memperkukuhkan Pasak Negara Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat, baru-baru ini menegaskan penekanan nilai moral dalam pendidikan negara perlu diberi perhatian kerana melibatkan kes buli penuntut sekolah menengah dan universiti.

‘Budaya’ diertikan ‘budi’ dan ‘daya’ yang meliputi seluruh corak hidup masyarakat termasuk kesenian dan adat resam.

Ternyatalah pendidikan budaya ini sewajarnya diterapkan bersungguh-sungguh terhadap masyarakat kita, bermula dari kalangan para pelajar di sekolah rendah, menengah dan universiti.

Oleh kerana subjek tersebut begitu penting mendidik warga negara berhati mulia sepatutnya dijadikan ‘Subjek Teras’ sepertimana subjek-subjek teras yang lain.

Apabila subjek ini menjadi subjek teras maka pembelajaran dan pengajaran subjek tersebut akan diberi perhatian sebaik-baiknya oleh para pelajar dan guru-guru di sekolah. Bukankah faktor utama pendidikan itu ‘memanusiakan manusia’?

Di samping itu pihak pemerintah juga wajar menyogokkan kepada semua pemimpin negara dan seluruh pegawai kerajaan di negara kita untuk mengatasi gejala yang mengucar-kacirkan masyarakat sekarang.

Jika selama ini terdapat subjek Pendidikan Moral, alangkah baiknya subjek tersebut digantikan dengan ‘Subjek Kemanusiaan’ yang bererti meliputi seluruh corak hidup dan budaya masyarakat kita.

Subjek kemanusiaan merangkumi corak hidup dan budaya sepertimana yang terkandung dalam senarai ‘Nilai-nilau Murni’ yang diterapkan dalam Pendidikan Moral.

Antaranya ialah: Baik Hati, Berdikari, Hemah Tinggi, Kasih Sayang, Keadilan, Keberanian, Kebersihan Fizikal dan Mental, Kejujuran, Kerajinan, Kerjasama, Kesederhanaan, Kesyukuran, Nasional dan Semangat Bermasyarakat.

Pada peringkat universiti diperkembangkan dan diketengahkan aspek-aspek yang lebih meluas dan mendalam misalnya yang berunsur sejarah seperti Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu: Nama negara, Tanah rizab Melayu, Penubuhan Rejimen Askar Melayu.

Selain itu perlu dikekalkan kerajaan dan kedaulatan Raja-raja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Kebangsaan adalah bahasa Melayu, Kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Setiap aspek tersebut hendaklah diperhalusi dan diberi penjelasan sebaik mungkin agar para pelajar kita memahami dan menghayatinya.

Sudah tentu pihak Kementerian Pendidikan dapat melaksanakannya, melalui Pusat Perkembangan Kurikulum Malaysia.

Penghargaan

Di samping unsur-unsur tersebut memang nyata bahawa aspek ‘memartabatkan bahasa rasmi negara’ iaitu bahasa Melayu patut diterapkan melalui subjek tersebut.

Bukankah bahasa itu jiwa bangsa? Setiap negeri yang maju dan membangun, boleh dikatakan seluruh dunia begitu memberi penghargaan kepada bahasa negara masing-masing.

Melalui bahasa inilah akan menanam semangat jati diri, cintakan bangsa dan negara. Melalui bahasa inilah juga membedung keharmonian dan perpaduan rakyat.

Menurut Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, beliau menyatakan bahawa usaha menjadikan faktor bahasa sebagai medium perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia masih lagi gagal berbanding di Indonesia dan Thailand.

Beliau menyuarakan perkara tersebut dalam Konvensyen Memperkukuhkan Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat, baru-baru ini.

Kita juga melihat sejauh mana penggunaan bahasa rasmi negara dipergunakan sempena Sukan SEA yang baru berakhir.

Jika negara-negara lain menganjurkan sukan yang bertaraf antarabangsa menggunakan bahasa negara masing-masing apakah negara kita berbangga menggunakan bahasa rasmi negara?

Memang terbukti bahawa para psikologi juga berpendapat bahawa kerukunan hidup sesebuah negara adalah melalui satu bahasa yang diamalkan bersama oleh seluruh rakyat dan para pemimpinnya.

Akan tetapi kini ramai dalam kalangan rakyat dan para pemimpin kita yang masih tidak mempunyai ‘jiwa’ kebangsaan, masih berkiblatkan bahasa asing terutama bahasa yang menjajah kita suatu ketika dahulu.

Kita sama sekali tidak anti bahasa penjajah itu untuk mengaut ilmu akan tetapi daulatkanlah bahasa rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan negara.

Memenuhi aspek budaya yang sebenar-benarnya maka satu tajuk ‘Memartabatkan Bahasa Negara’ hendaklah disalurkan bersama dalam subjek kemanusiaan itu.

Para pelajar didedahkan sebaik mungkin tentang peranan bahasa ini dan penggunaannya; di samping memungut pelajaran melalui bahasa negara, aspek yang lain adalah mewujudkan perpaduan.

Demikian betapa pentingnya mata pelajaran tersebut yang menjuruskan kepada ‘memanusiakan manusia’ – agar membendung peribadi rakyat kita sepertimana terbedungnya peribadi, karakter dan tingkah laku rakyat di negara-negara maju yang disebutkan tadi.

Kita juga mengharapkan sewajarnya aspek-aspek tersebut dapat diterapkan kepada seluruh pemimpin dan para pegawai kerajaan melalui ceramah, kursus, bengkel dan sebagainya.

Usaha ini dapat dilakukan oleh seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri, misalnya.

Di negara kita sekarang begitu heboh dengan ‘Penggubahan Wang Haram’. Aspek tersebut memang sewajarnya dikemukakan dalam sistem pendidikan kita.

Penggubahan wang haramlah yang menjejaskan ekonomi dan sahsiah hidup masyarakat kita hari ini. Ternyata semakin banyak dan pesat berlakunya kegiatan yang merosakkan negara ini.

Apabila aspek ini dikemukakan dalam sistem pendidikan terbendunglah gejala tersebut jika tidak seratus peratus, sekurang-kurangnya mengurangkannya.

Budayalah juga dapat membanteras aktiviti penggubahan wang haram.

Kes buli yang berleluasa dewasa ini juga dapat di atasi apabila unsur budaya ‘perikemanusiaan’ diterapkan dalam subjek kemanusiaan itu.

Pendek kata segala corak hidup manusia yang berbudaya tinggi akan dapat mengurangkan ‘penyelewengan dan kebiadaban’. Demikianlah usaha untuk merealisasikan budaya yang memanusiakan manusia.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan