Menurut lelaki berusia 45 tahun itu, keputusan menghasilkan single solo didorong keinginannya untuk mencuba sesuatu yang baharu, namun tetap setia bersama Spider.

“Kami berpegang teguh terhadap tali persahabatan yang telah dibina sekian lama dan setiap seorang daripada kami diberi kebebasan untuk bergerak solo.

“Jadi tidak timbul sebarang isu yang mengatakan Spider berpecah atau membuat haluan masing-masing,” jelasnya kepada Utusan Online.

Juga bertindak sebagai pemain gitar kumpulan tersebut, Tam memberitahu, setiap orang ada kebebasan untuk menerokai bidang muzik secara peribadi.

Jadi baginya, keutuhan silaturahim antara ahli kumpulan tidak goyah apabila ada sikap saling mempercayai satu sama lain.

“Kalau ikutkan, selama ini kami banyak kali membuat persembahan bersama, cuma jarang mendapat liputan. Sebab itu ramai yang ingat Spider sudah tiada,” ujarnya.

Tam berkata demikian usai menjayakan persembahan mini Spider dan Lampu Ajaib yang diadakan di Matic, Jalan Ampang minggu lalu.

Selain Tam, Spider turut dianggotai oleh Nafie, Tony dan Aie. - UTUSAN ONLINE