Empat tahun ‘sepi’ daripada sebarang aktiviti lakonan, perkara itu dilihat bukan satu percaturan yang kena pada tempatnya.

Namun kerana memikirkan tentang hala tuju dan masa depannya, Shiqin Kamal nekad meninggalkan terus bidang lakonan buat seketika.

Kini setelah empat tahun, dia yang mula dikenali menerusi filem Legenda Budak Setan (LBS) kembali bangkit daripada ‘persembunyian’. Baginya, ini tempoh yang baik untuknya kembali meraih pengalaman dan sepak terajang industri hiburan tempatan.

“Ketika itu ke mana-mana sahaja orang akan mengingati saya kerana filem Legenda Budak Setan walaupun ada beberapa filem lain yang dilakonkan.

“Namun apabila saya mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran, hati saya mula berbelah bahagi memandangkan peluang (lakonan) datang silih berganti. Ketika itu, ibu menasihati saya agar mengutamakan pelajaran terlebih dahulu.

“Saya akur memandangkan ini juga antara kemahuan saya. Jadi dalam tempoh berkenaan saya terus meninggalkan dunia seni dan memberikan tumpuan terhadap pelajaran,” kata graduan Sains Aktuari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor ini.

Bercerita mengenai fasa berkenaan, Shiqin tidak menafikan yang dia sebenarnya diselubungi rasa ralat ketika itu.

Satu persatu tawaran yang datang yang mencuri hatinya terpaksa ditolak demi pelajaran. Berpegang kepada prinsip meskipun tahu kebanyakan pelakon yang lain memilih melakukan kesemuanya pada satu masa yang sama, dia enggan melakukan dua kerja sekaligus.

Bagi Shiqin, dia tidak akan membelakangkan pelajaran memandangkan bidang yang dipelajarinya ketika itu begitu mencabar dan tidak boleh dilakukan sambil lewa.

“Cuba bayangkan perasaan saya ketika itu. Saya ‘buang’ terus dunia hiburan untuk memberikan tumpuan kepada pelajaran. Memang saya tak ambil tahu langsung semua yang berlaku kepada industri ketika itu.

“Apabila saya menonton drama atau filem yang bagus, hati saya jadi sedih sebab mengetahui bahawa tawaran tersebut sepatutnya diberikan kepada saya. Tapi saya percaya rezeki saya tak pernah tertutup untuk terus bergelar pelakon.

“Yang perlu saya lakukan hanyalah menunggu masanya tiba,” ujar anak kelahiran Kuala Lumpur ini lagi.

Sudah menamatkan pengajian pertengahan tahun lalu, Shiqin kini telah memikirkan semasak-masaknya untuk kembali serius sebagai pelakon.

Fokus

Mengambil tempoh lebih enam bulan berehat sebaik sahaja menamatkan pelajaran, Shiqin menggunakan masa tersebut untuk berfikir tentang hala tuju hidupnya.

Ketika itu dia sering kali terfikir adakah industri hiburan tempatan masih memerlukan khidmatnya atau dia patut meneruskan kerjaya dalam bidang yang dipelajarinya.

“Saya sebenarnya telah cuba untuk bekerja di pejabat sebelum ini. Tapi nampaknya suasana tersebut kurang menyenangkan dan saya tidak mampu bertahan lama. Daripada terus menyeksa jiwa, baik saya melakukan perkara yang saya mahukan dalam hidup.

 

“Sebab itu saya mengambil keputusan untuk meneruskan kerjaya dalam bidang lakonan walaupun terpaksa menapak selangkah demi selangkah kembali seperti satu permulaan.

“Tak apalah asalkan saya gembira dengan perkara yang saya lakukan. Itu sudah cukup baik,” kata pelakon utama filem Warna Cinta Impian ini lagi.

Bagi Shiqin, ada kala hatinya terkesan tatkala melihat khalayak semakin melupakan namanya apalagi apabila namanya pernah ditolak oleh sebuah stesen televisyen gara-gara kurang mengenali dirinya.

Namun apabila diberitahu yang dia pernah membintangi filem LBS, mereka mula ingat dan mempertimbangkan kembali namanya untuk beberapa siri telefilem dan drama bersiri selepas itu.

“Saya tak salahkan mereka kerana kurang mengenali saya sebelum ini. Setidak-tidaknya saya bersyukur kerana filem LBS cukup kuat dalam ingatan mereka dan kembali mengenali saya.

“Ini semua perjalanan biasa yang harus saya tempuhi. Mungkin fasa kehilangan saya lebih empat tahun lalu membuatkan orang lupa nama dan wajah saya,” ungkap Shiqin merendah diri.

Populariti

Melihatkan industri hiburan secara keseluruhannya, gadis yang berusia 24 tahun ini tidak menafikan bahawa populariti merupakan aspek penting untuk dikenali selain mutu lakonan yang baik.

Baginya, pelakon yang benar-benar popular akan diberikan tawaran bersilih ganti sedangkan yang lain terpaksa merangkak mencari tawaran untuk kelangsungan kerjaya masing-masing.

Tambahan pula dengan kitaran dan ‘jangka hayat’ yang pendek, kebanyakan golongan ini akan berada pada tahap statik seperti yang berlaku sejak dulu lagi.

Meskipun hakikat tersebut agak perit untuk ‘dihadam’, Shiqin percaya hanya usaha keras dan mutu lakonan yang baik akan membezakan mereka.

“Saya mengakui populariti itu amat penting untuk menarik minat orang menonton sesebuah drama mahupun filem. Dan hanya mereka yang benar-benar popular akan mendapat banyak tawaran.

“Sepanjang saya ‘menghilangkan diri’ saya lihat banyak wajah-wajah baharu yang muncul. Tak ada istilah iri hati pun dan saya percaya ini rezeki mereka berbekalkan kepada bakat masing-masing.

“Cuma saya belajar banyak perkara dengan situasi berkenaan. Setiap orang akan mendapat bahagian masing-masing dan saya hanya perlu yakin ada rezeki untuk saya juga nanti,” kata anak bongsu daripada tujuh beradik ini lagi.

Harapan

Jauh di lubuk hatinya, Shiqin sebenarnya mengharapkan tuah menerusi filem Warna Cinta Impian yang bakal ditayangkan sedikit masa lagi. Baginya, dia memberikan seratus peratus tumpuan memandangkan itu merupakan buah tangan terbarunya.

Selain Shiqin, Warna Cinta Impian turut dibintangi oleh Erwin Shah Dawson, Awie, Erra Fazira, Azlee Khairi dan Nelydia Senrose.

“Saya mengakui filem berkenaan memberikan cabaran yang cukup besar kepada diri saya. Dari segi emosi dan membawakan watak, segala-galanya saya lakukan yang terbaik.

“Sudah tentu saya mahu peminat datang dan menilai sendiri lakonan saya. Mungkin selama ini orang hanya melihat LBS sebagai penanda aras tetapi filem ini juga tidak kurang hebatnya,” ujar Shiqin penuh harapan.

Bukan tidak bersyukur lakonannya dalam LBS terus diingati tetapi dia risau jika mereka enggan memberikan peluang untuk menilai bakatnya melalui filem lakonannya yang lain.

Selain LBS, Shiqin juga pernah membintangi filem Di Larang Masuk, Uncle Usin, Tanda Putera, LeftWings dan Mantera.

Selain itu, dia juga baru sahaja menghabiskan penggambaran drama Seharum Rindu dan Melarik Awan dan bakal masuk ke set penggambaran PadamuKu Bersujud sedikit masa lagi.

 Instagram @syafieq_ayman