Salah seorang ahli Brothers, Yasin Sulaiman berkata, pihaknya memfailkan saman tersebut pada 18 September lepas di Mahkamah Majistret Shah Alam selepas pihak defendan tidak menghiraukan notis tuntutan yang dihantar pada 28 Julai lepas.

Jelas Yasin, pihaknya hanya menerima bayaran RM12,500 dua bulan sebelum konsert iaitu suku daripada jumlah keseluruhan bayaran persembahan konsert tersebut bernilai RM50,000.

“Kami hanya menuntut hak yang sepatutnya menjadi milik Brothers. Alasan yang diberikan pihak penganjur, mereka tidak mempunyai wang untuk bayar.

“Kami juga mahu membuka mata rakan penyanyi lain yang turut menjadi mangsa penganjur tersebut. Malah, pemuzik dan banyak pihak lain juga masih belum menerima bayaran mereka.

“Konsert tersebut sudah setahun berlangsung dan pelbagai cara sudah kami lakukan untuk mendapatkan penjelasan dan menuntut hak kami, “ katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Konsert 3 Kejora Bersatu yang berlangsung pada 7 dan 8 Oktober tahun lepas turut menampilkan kumpulan nasyid, Hijjaz dan Rabbani di Istana Budaya.

Tambah Yasin, pihaknya sering kali bertanyakan soal bayaran kepada pihak penganjur tetapi ada sahaja alasan yang diberikan.

Jelasnya lagi, tindakan ini bukan untuk mengaut keuntungan sebaliknya mahu pihak penganjur bertanggungjawab dan amanah terhadap janji mereka.

“Kali terakhir kami berhubung dengan pihak penganjur adalah pada dua bulan lepas menerusi aplikasi Whatsapp. Selepas itu, pihak tersebut terus menghilangkan diri.

“Kami telah menandatanginsurat perjanjian untuk konsert itu pada 27 Jun 2016. Kami sepatutnya menerima bayaran pendahuluan RM25,000 tetapi hanya menerima separuh daripada jumlah itu,” katanya. - UTUSAN ONLINE