Malah, kumpulan itu bukan sekadar menempelkan diri dalam genre nasyid, tetapi turut menyerlah dan mendapat sambutan yang baik daripada peminat.

Tetapi itu cerita 18 tahun dahulu ketika mereka mula dikenali dengan lagu Teman Sejati menerusi album pertama, We Are.

Brothers ketika itu tampil dengan gaya yang lebih kontemporari. Gaya itu nampaknya lebih dekat dengan peminat.

Namun, tahun berlalu, genre nasyid mula melalui zaman sukar apabila tidak mendapat sambutan daripada peminat yang akhirnya membuatkan genre nasyid makin sukar untuk dikembangkan.

Akibatnya, satu persatu kumpulan nasyid ketika itu bukan sahaja memperlahankan kerjaya seni, malah ada yang langsung hilang daripada dunia seni.

Sudah pasti, Brothers yang dianggotai oleh Yassin, Salleh, Faiz dan Syah turut merasakan kesan yang sama.

Brothers mula sepi daripada dunia seni dan hanya salah seorang anggotanya, Yassin yang terus aktif dan tampil sebagai penyanyi solo.

Penampilan Yassin sebagai artis solo nampaknya berjaya dengan beberapa lagu hit seperti Mimpi Laila, Salsabila, Kerna Dia, Aishah serta Nur Kasih yang menjadi runut bunyi bagi drama popular, Nur Kasih.

Melihat kepada aktifnya Yassin sebagai artis solo, ramai yang beranggapan Brothers sebenarnya sudah berpecah.

Tetapi, baru-baru ini, Yassin sendiri memberitahu bahawa Brothers tidak pernah berpecah dan masih kekal sejak penubuhan Brothers pada tahun 1995.

Tidak menafikan ada perselisihan faham yang berlaku, bagi Yassin, itu hanyalah perkara kecil yang berlaku bagi setiap orang.

“Perselisihan faham memang ada. Tetapi itu perkara biasa. Sedangkan lidah lagi tergigit dan perkara itu bukan menjadi sebab mengapa Brothers menyepi dalam industri.

“Disebabkan oleh komitmen terhadap kerja dan keluarga yang menjadi sebab kesukaran Brothers untuk kembali mengadakan persembahan bersama,” jelasnya.

Tambahnya lagi, disebabkan ada yang berkeluarga, sudah pasti tanggungjawab akan diberikan lebih kepada keluarga selain daripada kerjaya harian yang sedia ada.

Jelas Yassin lagi, sepanjang ketiadaan Brothers, mereka masih kekal berhubungan antara satu sama lain.

“Kalau bulan puasa, kami akan berbuka puasa bersama. Kami masih berhubung walaupun Brothers sudah lama tidak aktif.

“Malah, ada masa kami akan luangkan masa untuk nyanyi beberapa buah lagu sebagai latihan. Mungkin sebab tidak ada projek baharu yang membuatkan ramai beranggapan Brothers sudah berpecah. Sebenarnya tidak,” jelasnya. - Gambar AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN

20 tahun Brothers

Bermula sejak tahun 1995, Brothers yang kini sudah berusia 20 tahun akhirnya kembali dengan album kelima mereka berjudul Sabar.

Mengambil masa selama tiga tahun untuk menghasilkan album tersebut, Yassin menyifatkan album itu sebagai hadiah buat peminat yang menyokong kerjaya seni mereka.

“Untuk menghasilkan album baharu ini sebenarnya sudah dirancang lama tetapi tertunda kerana masing-masing ada komitmen yang lebih penting.

“Tetapi, hasrat untuk kembalikan Brothers sentiasa menjadi matlamat utama kami dan akhirnya, selepas tiga tahun, terhasil lima lagu baru untuk album Sabar ini,” jelasnya.

Jelas Yassin, disebabkan faktor usia masing-masing, album Sabar kali ini lebih menyerlahkan kematangan setiap anggota termasuk daripada aspek muzik.

Tambahnya, untuk album kali ini, mereka tidak lagi memberikan tanggungjawab kepada seorang vokalis sahaja untuk menyampaikannya.

“Untuk album kali ini, setiap penyanyi akan mendapat peranan sama rata untuk dinyanyikan secara adil,” jelasnya.

Berbicara mengenai promosi pula, jelas Yassin, Brothers sangat positif dengan sambutan daripada para peminat dan sudah merancangkan pelbagai perkara untuk album terbaharu mereka.

“Album ini memberi kami semangat untuk kembali mengadakan promosi dan pastinya, pelbagai perkara sudah dirancangkan termasuklah mengadakan kempen.

“Dalam pada itu, kami turut mengadakan kempen mempromosikan kesabaran dan antistres melalui album ini yang menggunakan tajuk sabar,” jelasnya.