Berkata kepada Utusan Online, Bront gembira kerana terus diberi kepercayaan oleh pihak HBO memandangkan sebelum ini dia juga berpeluang terbabit menerusi siri Halfworlds untuk musim pertama dan kedua.

“Ini bukan kali pertama saya bekerja di bawah produksi HBO. Lagipun, HBO adalah klien saya, jadi apabila mendapat tawaran, saya cuma lunaskan tanggungjawab sebaik mungkin,” katanya ringkas ketika dihubungi.

Baru saja tamat penggambaran beberapa bulan lalu, selain Bront, seorang lagi pelakon Asia yang mendapat peluang sama ialah Kazuki Kitamura, aktor handalan dari Jepun yang dikenali menerusi filem Hollywood, Godzilla: Final Wars dan Kill Bill.

Bagaimanapun, menurut Bront, dia dan Kazuki tidak berkesempatan untuk bersua kerana mereka menjayakan episod berbeza.

“Mungkin akan berjumpa ketika majlis pelancaran tidak lama lagi,” jawabnya.

Tambah Bront, peluang beraksi di bawah produksi antarabangsa itu adalah detik keemasan buatnya untuk mempromosikan tanah kelahiran sendiri menerusi bakatnya kepada dunia luar.

Malah, Bront memberitahu, di samping Kazuki, terdapat ramai lagi barisan pelakon hebat turut membintangi Folklore yang diarahkan oleh enam orang pengarah berpengaruh dari seluruh Asia.

Sutradara yang terbabit ialah Ho Yuhang (Malaysia), Joko Anwar (Indonesia), Takumi Saitoh (Jepun), Lee Sang-Woo (Korea), Eric Khoo (Singapura) dan Pen-Ek Ratanaruang (Thailand). - UTUSAN ONLINE