Kepesatan pembangunan teknologi seakan-akan ‘membunuh’ seni dan budaya yang pernah diperjuang oleh nenek moyang kita.

Justeru, jangan terkejut andai satu hari nanti, tiada lagi generasi yang mengenali kesenian ghazal parti, boria, kuda kepang, tarian zapin, joget dan sebagainya.

Itulah harga yang perlu dibayar apabila negara mencapai status negara maju.

Menyentuh mengenai kesenian yang semakin dipinggirkan membuatkan Mega Hits terpanggil untuk menyingkap mengenai masa depan boria.

Jika ada yang terlupa, pementasan boria yang amat popular di Pulau Pinang mempunyai dua segmen iaitu sketsa dan nyanyian yang diketuai seorang tukang karang (biasanya akan memegang tongkat/baton ketika menyanyi).

Tukang karang diiringi oleh Sailor yang terdiri lebih daripada enam orang di belakang tukang karang yang akan menyanyi dengan mengulangi rangkap pertama nyanyian tukang karang.

Asalnya persembahan boria turut dikaitkan dengan peristiwa Karbala di Asia Barat iaitu peristiwa pembunuhan Saidina Hussein oleh Muawiyah Abi Suffian dan dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh tentera British berfahaman Syiah dari India ke Pulau Pinang seawal abad ke-19.

Ada juga pendapat yang mendakwa persembahan asal ini berasal dari India menerusi kegiatan perdagangan oleh pedagang India Muslim suatu ketika dulu.

Dalam boria ada unsur lakonan, lawak jenaka, nyanyian, muzik serta tarian yang digarap menjadi persembahan yang mempunyai struktur istimewa.

Berbeza dengan kesenian warisan dari negeri-negeri lain seperti makyong, ghazal, kuda kepang dan lain-lain, boria bagaikan terpinggir dan terbatas di Pulau Pinang sahaja dan amat jarang dipersembahkan dalam skala yang besar di Kuala Lumpur, misalnya.

Sedangkan satu masa dahulu, boria antara kesenian warisan yang sangat masyhur di seluruh negara dan sering dilibatkan dalam pelbagai acara di peringkat persekutuan dan negeri.

Persoalannya, sejauh mana boria masih lagi bertahan? Dan apakah ada usaha yang diambil oleh pihak berwajib untuk memastikan generasi akan datang masih mengenali seni warisan tidak ketara ini?

Mengulas hal ini, penggiat boria terkenal, Jibran Khalil Sindamadar memberitahu, pendapat bahawa boria semakin pupus tidak benar sama sekali kerana kesenian warisan Pulau Pinang itu masih mempunyai pengikut yang ramai.

Beliau sebagai antara aktivis boria senior di Pulau Mutiara itu menjelaskan, dengan terdapat 10 kumpulan boria yang aktif mengadakan persembahan membuktikan seni budaya itu masih lagi ‘bernafas’.

Menurut Jibran, jumlah 10 kumpulan boria itu juga disifatkan banyak memandangkan kecenderungan generasi muda hari ini terhadap kesenian boria semakin kurang.

“Jika dibandingkan zaman saya muda-muda dulu sudah tentu jumlah kumpulan boria dahulu dan sekarang sudah jauh menurun. Bagaimanapun dengan ada 10 kumpulan yang aktif setidak-tidaknya memberi harapan bahawa boria masih lagi mampu untuk ‘bernafas’,” kata Jibran.

Bagaimanapun menurut Jibran, yang membezakan senario masa kini dan dahulu ialah penyertaan kaum lelaki semakin kurang dalam mementaskan boria.

“Saya fikir masih ada anak jati Pulau Pinang yang tidak tahu apa itu boria. Ini pendapat saya,” katanya menyambung perbualan mengenai trend anak muda Pulau Pinang beralih kepada medium seni lain.

Sehubungan itu, beliau menyarankan, program-program yang boleh membantu menyuburkan kesenian boria yang dekat dengan golongan sasar harus dipertingkatkan.

“Saya berterima kasih kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pulau Pinang yang begitu serius menganjurkan pelbagai program untuk membangunkan boria kerana penyertaan pihak berwajib amat mustahak untuk kita sama-sama menyuburkan kesenian warisan ini,” sambung Jibran lagi.

Asal-usul nama boria

Selama ini, kita hanya sering mendengar nama boria tanpa kita mengetahui dari mana asal-usul nama itu.

Berdasarkan carian di Internet, ada pelbagai pendapat yang menjelaskan mengenai nama boria.

Segelintir sarjana berpendapat, boria diambil dari perkataan Hindi yang bermaksud ‘tikar’. Perkataan ini timbul kerana kumpulan boria ketika itu menggunakan pakaian yang diperbuat daripada tikar untuk menggambarkan kesengsaraan Saidina Hussein di Karbala.

Tidak ketinggalan, ada juga berpendapat perkataan boria berasal daripada perkataan ‘borai’. Borai dalam bahasa Hindi membawa maksud gila atau sasau. Kenapa borai? Ini kerana kelakuan pemain serta pakaian mereka semasa persembahan seperti orang gila.

Pendapat lain mengatakan bahawa boria berasal dari perkataan Bori iaitu satu kaum yang berasal dari Gujerat, India. Mereka berpindah serta menetap di Pulau Pinang dan kaum inilah yang dikatakan memulakan permainan boria di Pulau Pinang.

Pendapat lain ada mengatakan bahawa nama boria lahir hasil gabungan bori dan ria maka terjadilah boria.

Bimbang boria masuk muzium

Bagi penggiat boria tersohor, Omar Hashim atau lebih dikenali sebagai Omara, yang membanggakan beliau ialah kesenian boria di Pulau Pinang sedang memperlihatkan era kebangkitannya selepas hampir sedekad melalui zaman ‘tenat’.

Menurut beliau, perkembangan positif itu dapat dilihat menerusi kemunculan 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif mengadakan persembahan.

Jumlah berkenaan, jelas Omara, tidak termasuk kumpulan-kumpulan boria yang diasaskan oleh sekolah-sekolah di negeri itu.

“Saya amat gembira dengan perkembangan ini. Kemunculan NGO-NGO kesenian boria serta kumpulan boria di sekolah-sekolah seperti memberi ‘nyawa’ kepada kesenian boria untuk kembali menjadi masyhur,” kata Omara, 63, ketika ditemui di Pulau Pinang baru-baru ini.

Dalam kembali merakyatkan boria juga, Omara berterima kasih kepada JKKN Pulau Pinang yang komited memberikan sokongan terhadap usaha-usaha mengembalikan semula kegemilangan kesenian itu.

Selepas lebih lima dekad memperjuangkan boria, Omara berpendapat, seni warisan tidak ketara yang terkenal dengan orang Pulau Pinang harus dihidupkan sepanjang zaman.

Ini kerana, jelas beliau, boria sangat sinonim dengan identiti Pulau Pinang dan kesenian itu memiliki pelbagai elemen yang berupaya menarik minat pelancong asing serta generasi muda untuk mencintainya.

Elemen paling penting, kata Omara, boria tidak hanya sekadar hiburan kosong semata-mata sebaliknya pengisian mesej dalam lirik lagu-lagu yang disampaikan ada kaitan dengan kehidupan masyarakat umum.

“Boria merupakan medium keharmonian masyarakat sebenarnya. Sebab itu kita harus mempertahankan seni warisan tidak ketara ini. Kita harus pupuk minat dalam anak-anak muda. Saya mengharapkan semua pihak di Pulau Pinang akan memberi sokongan dan melakukan apa sahaja untuk terus mempopularkan boria,” kata penerima anugerah Tokoh Seni Budaya Negeri Pulau Pinang 2016 ini lagi.

Sekalipun sejak 10 tahun kebelakangan ini, boria sudah menunjukkan perkembangan yang positif namun jauh di sudut hatinya, Omara bimbang seandainya kesenian warisan ini akan hilang sampai masanya kelak.

“Kalau bukan orang seperti saya dan NGO-NGO lain aktif merakyatkan boria, saya bimbang boria akan masuk muzium nanti,” ujarnya lagi.

Usaha berterusan pertahan boria

KETIKA banyak pihak yang skeptikal dengan masa depan boria di Pulau Pinang, JKKN Pulau Pinang pula sudah menyediakan pelan jangka panjang bagi memastikan perjuangan seni warisan tidak ketara itu diambil alih oleh generasi akan datang.

Menjelaskan pelan jangka panjang itu, Pengarahnya, Mohd. Rizal Ismail berkata, seperti kesenian tradisional lain, usaha memasyarakatkan boria tidak pernah diketepikan dalam agenda perjuangan seni badan berkenaan.

Usaha berterusan yang dibuat oleh JKKN negeri ialah mengadakan program perintisan sejak lima tahun lalu yang memberikan impak yang besar kepada perkembangan boria.

Program perintisan itu, jelas Mohd. Rizal, membuka peluang kepada NGO yang berhasrat aktif dengan boria berdaftar dengan JKKN sebelum pelbagai usaha pemuliharaan kesenian itu dilakukan secara bersama.

“Kita berpendapat perintisan merupakan platform paling terbaik untuk mengenal pasti badan kesenian yang minat dan berhasrat untuk mempopularkan boria dapat dibantu oleh JKKN.

“Dalam program perintisan, kami di JKKN kembali ke akar untuk melihat bagaimana kami boleh sama-sama bantu tingkatkan boria. Usaha perintisan ini juga tidak hanya terbatas pada boria sebaliknya kami juga sama-sama membantu kembangkan kesenian bhangra, chinggey dan lain-lain lagi,” kata Mohd. Rizal lagi.

Selain memberi tumpuan kepada mencungkil bakat-bakat baharu dalam kesenian boria, JKKN juga kata beliau, sentiasa mengambil usaha untuk meningkatkan nilai seni dalam pementasan itu seiring dengan perubahan semasa.

Mohd. Rizal menyedari banyak pihak yang bertanya apakah boria harus kekal dengan identiti yang diwarisi sejak berzaman tanpa melalui sebarang transformasi.

Dalam konteks ini, beliau berkata, boria juga perlu sama mengikut rentak dan arus perkembangan kesenian kontemporari.

“Budaya sebetulnya berubah ikut keadaan. Demikian juga dengan kesenian. Kalau perlu melakukan perubahan, kita galakkan tapi jangan sampai menggadai prinsip asas dan keaslian boria itu sendiri,” ujarnya.

Sekalipun menyokong usaha penambahbaikan dalam kesenian itu, Mohd. Rizal mengakui, JKKN negeri juga berhadapan dengan masalah apabila sukar untuk mengajak semua penggiat boria duduk semeja berbincang bersama.

“Masalah penggiat boria ialah susah untuk sependapat dalam banyak hal. Kalau konflik ini dapat diselesaikan, saya percaya kita dapat menjadikan boria setanding dengan kesenian warisan yang lain,” tegas beliau.

Bagaimanapun konflik antara penggiat teater tidak pula dijadikan alasan kenapa JKKN negeri tidak boleh memberi tumpuan kepada usaha-usaha lain yang boleh membangunkan kesenian boria.

Menurut Mohd. Rizal, JKKN sangat aktif menganjurkan pelbagai aktiviti membangunkan kesenian boria termasuk pertandingan boria sempena Pesta Pulau Pinang sejak 2004 lagi.

Bahkan, JKKN Pulau Pinang juga pernah membincangkan masa depan boria di platform yang serius menerusi penganjuran program Sembang Seni 2016, Festival Boria, mengasaskan kumpulan boria di Inap-Inap Desa dan pelbagai aktiviti lain.

“Semua aktiviti yang dianjurkan memberikan pulangan pelaburan yang sangat berharga iaitu apresiasi terhadap kesenian boria dalam kalangan masyarakat tempatan khususnya dan juga pelancong.

“Saya berpendapat, memupuk minat dan kesedaran itu merupakan teras ke arah menyuburkan serta menyemarakkan lagi kesenian boria,” kata Mohd. Rizal.