Dianggotai empat ahli iaitu Nodi selaku vokalis, Wan (gitaris) Lee (basis) dan Man (dram), kumpulan tersebut kekal meneruskan legasi rock kapak yang diwakili mereka sehinggalah kali terakhir mengeluarkan single berjudul Untuk Apa pada 2013.

Selepas itu, Nodi membuat keputusan untuk mengundurkan diri dan dipersetujui ahli-ahli lain bagi membawa haluannya sendiri. Bertemu dengan Nodi baru-baru ini, dia berundur secara baik, tidak wujud sebarang sengketa dengan ahli Qiara yang lain.

Bercerita perkembangan terkininya, Nodi menjelaskan, walaupun bergerak solo, dia masih lagi memenuhi undangan nyanyian pentas di majlis-majlis keramaian dan pada masa yang sama memberanikan diri menceburi bisnes jualan langsung untuk menjana pendapatan.

Menyedari hakikat semakin berusia, penyanyi berusia 42 tahun itu memilih syarikat jualan langsung yang mengeluarkan produk kesihatan supaya memperoleh kelebihan berganda buat dirinya serta keluarga.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya mencuba untuk ceburi bidang jualan langsung dan memilih produk kesihatan agar dapat memanfaatkan kelebihan yang ada.

“Selain dapat menambah duit poket, produk tersebut juga saya gunakan untuk kesihatan tubuh badan sendiri serta ahli keluarga yang lain. Jadi tidak rugi andai melabur untuk kesihatan daripada membazir tak tentu pasal.

“Saya memilih produk jenama Rich Stem Cell yang mampu memberi kesan awet muda kepada si pengguna. Penggunaannya mudah sahaja, hanya mencampurkan serbuk berkenaan ke dalam air mineral dan meminumnya,” jelas Nodi yang kini telah menubuhkan kumpulan baharu iaitu AxRock, kekal dengan genre lamanya iaitu rock.

Menurut Nodi lagi, penglibatannya dalam bisnes berkembang secara positif apabila seorang doktor dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), tertarik dengan produk tersebut sehingga sanggup terbang ke Malaysia berjumpa dengannya.

Perjumpaan dengan doktor tersebut yang hanya dikenali dengan nama Muhammad itu menerbitkan satu jalinan kerjasama berterusan apabila dia berminat untuk menjadi pengedar di negara Timur Tengah berkenaan.

Nyanyi rock Arab?

“Saya bersyukur kerana niat untuk melihat keluarga lebih senang dipermudahkan apabila Dr. Muhammad sudi bekerjasama dengan saya. Lebih menarik, tawaran doktor itu ibarat dua dalam satu apabila dia juga menunjukkan minat untuk menyumbangkan lagu bagi album terbaharu AxRock,” cerita Nodi.

Menyentuh pembabitan doktor tersebut dalam perkembangan kerjayanya untuk menghasilkan produk seni terbaharu, Nodi menceritakan bahawa ketika perjumpaan singkat pada awal tahun lalu dengan doktor berkenaan, dia turut memperdengarkan lagu-lagu nyanyiannya.

Kesempatan tersebut sekali lagi menarik minat Muhammad untuk menjalinkan satu lagi kerjasama bagi pasaran di Dubai. Tambah Nodi, genre nyanyian adalah kegemaran penduduk negara Arab itu.

“Lantas, dia mencadangkan untuk menyanyikan single kumpulan AxRock bertajuk Usah Kau Kembali dalam bahasa Arab dengan menyusun semula muziknya memasukkan sedikit elemen padang pasir.

“Minat yang ditunjuknya diterima dengan hati terbuka dan berterima kasih kepada Dr. Muhammad kerana memberi peluang buat AxRock melangkah lebih jauh. Sesuatu yang tidak diduga mampu pergi sejauh ini walaupun AxRock masih terlalu baharu.

“Pada masa yang sama, doktor itu juga akan menggubah sebuah lagu baharu berbahasa Arab untuk dimuatkan dalam album baharu kami kelak. Maksudnya akan terdapat dua buah lagu Arab dalam album itu nanti yang dijangka siap pada penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan,” jelas Nodi meluahkan keterujaannya.

Selain berbangga memasarkan produk kesihatan dan kecantikan keluaran Bumiputera ke pasaran antarabangsa, Nodi bagai bermimpi hasil nyanyiannya juga bakal mendapat tempat di Dubai dan tidak menantikan penghasilan album AxRock.

Dalam pada itu, sisi peribadinya pula, Nodi merupakan seorang bapa kepada lima orang anak hasil perkahwinan dengan Rozita Ismail, 38. Lima orang anak mereka ialah Mahadi, 18; Hafizi, 15; Maliki Ibnu Razi, 10; Ahmad Solihin Mustaqim, 6 dan Nurfatyhah, dua tahun.