Kumpulan muzik yang berasal dari Bario, Sarawak dan terdiri daripada 30 orang itu juga merasa sangat gembira kerana ia merupakan persembahan pertama mereka di Semenanjung.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut menyaksikan persembahan kumpulan itu bersama kira-kira 500 penonton dalam persembahan yang diadakan menerusi tiga segmen di Dewan B, di sini.

Ketua kumpulan Bamboo Band, Stanley Isaac berkata, kumpulan itu menerima pelawaan Ahmad Shabery untuk mengadakan persembahan di MAHA 2016 selepas beliau tertarik dan terhibur dengan persembahan mereka ketika melawat Bario baru-baru ini.

“Ini kali pertama kami mengadakan persembahan di tempat yang sangat jauh,” kata­nya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Stanley berkata, kumpulan itu mempunyai 11 jenis alat muzik yang diperbuat daripada buluh dan dinamakan berdasarkan not bunyi yang dikeluarkan.

“Alat-alat muzik ini saya buat sendiri. Ilmu membuat alat permainan ini sudah lama menjadi warisan keluarga saya,” katanya.

Beliau berkata, pada awalnya, alat permainan itu dicipta dan digunakan sebagai teropong tetapi seorang guru dari Indonesia menjadikannya sebagai alat muzik dan permainan itu berkekalan sehingga sekarang.