Bob atau nama sebenarnya Yusrizan Usop berkata, idea untuk menubuhkan pusat tersebut didorong oleh rasa tanggungjawabnya kepada masyarakat dalam membantu golongan yang wajar diberikan peluang kedua untuk meneruskan kehidupan mereka.

“Sejak dilantik sebagai Red Ribbon Celebrity Supporter (RRCS) oleh Yayasan AIDS Malaysia pada 2010, saya diberi peluang untuk mendekati pesakit AIDS yang terdapat di negara kita.

“Pelantikan tersebut membolehkan saya mengaktifkan diri sebagai sukarelawan bagi sama-sama membantu menghentikan gejala penyakit ini dari peringkat akar umbi.

“Antara projek yang dijalankan secara giat oleh yayasan tersebut adalah mewujudkan pusat sehenti di seluruh negara sebagai alternatif menyediakan penginapan buat pesakit AIDS atau pembawa virus HIV yang dibuang masyarakat.

“Bagi merealisasikan projek tersebut, kami golongan selebriti yang telah dilantik membantu dari sudut promosi bagi mengumpulkan dana,” jelas Bob.

Dari situ, menurut anak kelahiran Limbang, Sarawak itu, dia terpanggil untuk mengusahakan sendiri sebuah pusat sehenti di negeri kelahirannya.

Dek jasa dan baktinya itu, baru-baru ini Bob diberi pengiktirafan selaku penerima Anugerah Penyumbang Tetap (Longstanding Contribution Awards) bagi kategori RRCS.

Selain finalis AF Megastar itu, antara selebriti yang turut sama dilantik menyertai RRCS ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Aaron Aziz, Fahrin Ahmad, Dayang Nurfaizah, Winnie K dan penulis lirik, Shah Shamshiri. - UTUSAN ONLINE