Ketika media diundang bagi menyaksikan previu teater ini minggu lalu, tidak diragui bahawa aura Zizan Razak dan Awie masih lagi mampu menggeletek minda penonton untuk bergelak sakan.

Sungguhpun banyak lagi perlu diperbaiki, namun Nazrul Asraf selaku pengarah yang baru pertama kali mengarahkan teater sedemikian optimis dapat memperbaiki kelemahan.

Sebenarnya, sejak teater ini ditayangkan pada 23 Januari lalu ,pelbagai kelemahan telah dibaiki dengan memberi penekanan kepada beberapa aspek yang kelihatan lompong.

Naskhah ini boleh pergi jauh biarpun diakui ketika filem Bikers Kental ditayangkan pada 2013, jalan ceritanya boleh dikatakan hanya pada tahap biasa-biasa sahaja.

Selain Zizan dan Awie, Nazrul juga berani mempertaruhkan muka baharu dalam industri iaitu Nadia Brian dan aktres dari Thailand, Pawika Thammakamee. Pelakon lain Ameerul Afendi dan Ayie Hushairi turut dikekalkan di dalam teater ini.

Teater Bikers Kental lebih kepada humor santai yang sesuai buat tontonan semua lapisan usia dengan mengangkat tema pengembaraan penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Kuala Lumpur ke Thailand.

Dari segi visual jalan raya yang dipaparkan ketika babak Awie dan rakan-rakan menunggang motosikal berkuasa tinggi ketika di atas pentas memang harus dipuji.

Terpegun melihat bagaimana Nazrul boleh mengeluarkan idea begitu menarik bagi menggambarkan situasi sebenar keadaan ketika berkonvoi biarpun pada ketika itu hanya berada di atas pentas.

Watak Zizan sebagai Bidin Al-Zaifa kadangkala boleh dikatakan agak keterlaluan, namun aktor ini mahupun si pengarah tidak boleh dipersalahkan. Mungkin ini salah satu cara ‘memancing’ geli hati penonton.

Elemen sinikal dan dialog bersahaja yang mengenakan sesama sendiri di antara Zizan dan Awie pula mampu mengundang hilaian tawa penonton.

Namun ada juga babak yang terlampau lama ditambah dengan dialog berjela yang perlu dipandang serius bagi mengelakkan penonton merasa bosan.

Banyak kronologi yang mungkin ada sesetengahnya penonton dengan mudah dapat ‘menangkap’ babak seterusnya kerana seperti dikatakan teater ini mudah untuk diagak.

Nazrul pada sidang akhbar selepas previu itu melahirkan rasa lega dan berharap teater ini mendapat sambutan menggalakkan.

“Minat nak mengarahkan teater ini timbul kerana jalan cerita asal dari filem ini yang berperihal mengenai perjalanan atau road movie. Malah kalau diamati filem sebelum ini juga turut menyelitkan intipati cerita tentang persahabatan dalam kalangan penunggang motosikal berkuasa tinggi”katanya.

Mengulas mengenai beberapa kritikan pedas yang diterima selepas teater ini ditayangkan, Nazrul mengambilnya dari sudut positif dan menerima semua ulasan yang diberikan sebagai salah satu sumber rujukan pada masa akan datang.

“Saya sendiri akur dengan beberapa kelemahan dalam teater ini. Banyak babak yang lemah perlu diperbaiki dan sudah tentu ini satu pengajaran buat saya sebagai pengarah.

“Mungkin ketika penonton hadir di IB sepanjang tarikh tayangan nanti,pementasan teater ini sudah diperbaiki.

“Berjayanya teater ini turut dipengaruhi pelakon utama seperti Awie dan Zizan. Jumlah pengikut kedua-dua bintang utama ini sememangnya ramai dan saya berharap agar teater ini mendapat sambutan membanggakan,”ulasnya.

Teater terbitan MS Integrated Sdn. Bhd. dan Califwork Studios ini mendapat sokongan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia mula ditayangkan sejak 23 Januari lalu hingga 31 Januari ini.

Bagi sesiapa yang berminat untuk menonton teater ini, tiket boleh didapati secara online di www.AirAsiaRedtix.com. dengan harga dari RM45 hingga RM305.