Berkata kepada Utusan Online, Siti berharap kesemua 10 peserta yang bertanding menyerlahkan kredibiliti mereka sebagai penyanyi berwibawa dengan memanfaatkan pentas minggu pertama, Ahad ini.

“Bagi membuka tirai persembahan minggu pertama, saya menasihatkan mereka memilih lagu yang mampu menonjolkan kepaduan vokal masing-masing.

“Perlu saya tegaskan, ini adalah sebuah pertandingan, bukannya persembahan. Jadi, pemilihan lagu harus dititikberatkan,” katanya memberi nasihat.

Sementara itu, Faizal pula berpendapat, barisan peserta Big Stage perlu peka dengan setiap situasi yang berlaku dalam program tersebut memandangkan konsep yang diketengahkan sebagai sebuah rancangan realiti.

“Mereka perlu sensitif dengan setiap perubahan untuk merangsang daya kreativiti yang fleksibel mengikut senario yang terjadi,” tambahnya.

Paling penting, menurut Faizal, mereka perlu mendapat bimbingan dan dorongan sewajarnya agar tidak terlepas peluang untuk beraksi dengan baik.

Big Stage menampilkan 10 orang penyanyi baharu dan muda seperti Andi Bernadee, Sissy Iman, Tajul Arif, Baby Shima, Syafiq Farhain, Wani Kayrie, Afieq Shazwan, Fara Hezel, Ariff Bahran dan Sarah Suhairi. - UTUSAN ONLINE