Semuanya kerana perkara yang sedang melanda suami tercinta, Datuk Farid Kamil membuatkan Datin Diana Danielle perlu kuat untuk berdepan dengan sebarang kebarangkalian yang bakal berlaku kelak.

Dia harus kuat demi anak-anak yang masih kecil malah pada saat suaminya didakwa atas kesalahan menampar seorang anggota pihak berkuasa awal Januari lalu, telefonnya tidak putus-putus berdering daripada pihak yang mahukan kepastian.

Namun Diana atau Diana Danielle Danny Beeson memilih untuk tidak mahu mengulas tentang hal itu biarpun terus ditanya oleh pihak media sehingga kini.

Baginya, tempat seorang isteri harus sentiasa di sisi suami dan itulah yang dilakukan dengan sebaik-baiknya - merangkul erat perihal suami dan keluarga tanpa berganjak walau seinci.

Malah wanita berusia 27 tahun ini lebih selesa menjalani kehidupan dengan tenang tanpa perlu mengusutkan lagi keadaan.

“Sebagai manusia saya juga ada hati dan perasaan. Tetapi dari sudut persona saya harus kelihatan tenang. Tak semua perkara saya kena kongsikan dengan masyarakat kerana itu tidak akan membantu menyelesaikan masalah yang dialami.

“Saya mahu redakan hal ini dengan cepat. Justeru, lebih baik fikirkan untuk mencari jalan penyelesaian tanpa dipengaruhi dengan emosi,” ujarnya.

Tak mahu emosi anak terganggu

MENDAFTARKAN anak perempuannya, Aurora ke sebuah taska swasta sejak Ogos lalu, sangkanya Aurora akan berasa seronok dikelilingi dengan persekitaran itu namun sangkaannya meleset.

Justeru Diana nekad berhenti menghantar anaknya ke taska kerana anaknya itu tidak gembira dan dia tidak mahu menjejas perkembangan emosi anak yang sedang membesar.

“Kita pun boleh rasa kalau anak sudah bersedia atau tidak untuk berada pada satu-satu fasa dalam hidup. Begitu juga dengan sesi persekolahan, itu juga adalah salah satu fasa.

“Kita sebagai ibu bapa kena waspada agar anak-anak tidak mempunyai persepsi tidak sukakan sekolah yang akhirnya akan menyusahkan mereka sendiri,” katanya yang sudah tidak lagi menghantar Aurora ke taska sejak awal Mac lalu.

Mendaftarkan Aurora ke taska yang sama dengan anak sulungnya, Muhammad, kata Diana:

“Muhammad mula ke taska pada usia empat tahun kerana dia sendiri yang minta. Itu bermakna dia benar-benar sudah bersedia dan gembira berada di sekolah.

“Oleh kerana abangnya masuk taska, saya pun masukkan Aurora di tempat yang sama. Namun nampaknya dia tidak selesa. Malah saya ada terbaca kanak-kanak seawal usia Aurora perlu membina hubungan sosial bermula dengan orang sekeliling di rumah berbanding melepaskan dia ke sekolah bersendirian.

“Jadi saya melihat tiada keperluan untuk menghantar Aurora ke taska lagi,” katanya.

Sibuk aktiviti seni

ANAK kelahiran Texas, Amerika Syarikat ini juga berkongsi perasaan berdebar dan gembira tatkala dipelawa untuk mengendalikan rancangan bual bicara Kata Serasi dengan pengacara Naz Rahman di saluran ntv7.

“Saya berterima kasih kepada Naz kerana banyak membantu saya. Banyak yang dapat dipelajari apabila mengacara sebuah program dengan orang berpengalaman seperti Naz,” katanya.

Kata Serasi ke udara secara siaran langsung setiap Isnin, pukul 9.30 malam selama satu jam dan merupakan sebuah program yang membicarakan tentang isu-isu semasa, hubungan kekeluargaan serta gaya hidup sosial.

Menyentuh tentang kerjaya lakonan pula, Diana baru sahaja selesai menjalani penggambaran untuk filem Gol & Gincu 2.

Filem yang pernah menjadi fenomena pada 2005 itu menjadi perbualan hangat netizen dan ramai tidak berpuas hati apabila hanya dua pelakon asal sahaja membuat kemunculan semula.

“Ramai orang marah sebab ada beberapa watak lama tidak ada dalam filem baharu ini. Hanya watak Sharifah Amani dan Sazzy Falak sahaja dikekalkan.

“Filem ini merupakan kesinambungan filem terdahulu. Watak utama antaranya Fazura tidak terlibat dalam filem kali ini. Malah peminat membuat perspektif salah apabila beranggapan saya dan Ummi Nazeera menggantikan watak-watak sebelum ini.

“Ingin saya tegaskan, watak saya dan Ummi merupakan watak baharu yang diwujudkan dan karakter kami itu tiada kena mengena dengan pelakon-pelakon sebelum ini,” katanya yang memegang watak sebagai Zak dalam Gol & Gincu 2 yang bakal menemui khalayak pada hujung tahun ini.

Sementara itu, Diana juga bakal muncul dengan single baharu berjudul Infiniti yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

“Single hasil ciptaan Reyza Hamizan ini begitu istimewa malah kami juga berduet bersama-sama. Ini sebuah lagu yang indah dan sedap didengar oleh semua lapisan usia,” katanya.