Pun begitu, Mira Filzah atau Nur Amirah Filzah Badioezaman, 25, tidak pula menafikan mengenai perhubungan mereka malah mengakui, dia dan Zizan masih lagi berkawan walaupun masing-masing sentiasa sibuk dengan tuntutan kerja harian.

Ditanya adakah mereka sudah bersedia untuk ke fasa seterusnya dalam ikatan persahabatan itu, Mira menjelaskan bahawa dia kini lebih selesa memikirkan soal kerjaya berbanding cinta.

“Hubungan saya dan Zizan masih baik dan kami berkawan seperti biasa. Sejak kebelakangan ini kami sangat sibuk bekerja tetapi itu tidak menghalang kami untuk terus berkawan.

“Tentang fasa seterusnya, belum tiba masa untuk saya kongsikan. Buat masa ini saya mahu memberi sepenuh perhatian kepada kerjaya dahulu. Bila tiba masanya, saya pasti akan berkongsi dengan semua,” jelas Mira ringkas.

Sementara itu, pelakon yang popular menerusi drama Cinta Si Wedding Planner ini memilih untuk merahsiakan hadiah pemberian Zizan sempena sambutan ulang tahun kelahirannya pada 2 April lalu.

“Biarlah rahsia,” ujarnya ringkas.

Bercerita tentang sambutan ulang tahun kelahirannya, pengacara rancangan Mahligai Cinta ini meluahkan rasa terharu kerana diberikan kejutan istimewa oleh peminat.

Baginya, kejutan dan sambutan tersebut merupakan hadiah paling bermakna malah tidak menyangka peminat sudi menyambut hari lahirnya dengan mengadakan satu majlis yang meriah.

“Mereka menyambutnya sehari awal, jadi saya memang tidak menyangka kejutan tersebut. Pada awalnya saya diberitahu bahawa saya perlu menghadiri mesyuarat dengan pihak produksi Nona. Yang membuatkan saya lebih terharu, peminat berusaha menjayakan majlis tersebut dengan berpakaian sekolah bagi menyempurnakan tema,” ujarnya.

Perihal kerjaya seni

MENGUBAH topik cerita daripada kisah peribadi kepada kerjaya, bekas pelajar jurusan Perniagaan Antarabangsa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor ini teruja berkongsi perihal kerja seninya.

Menurut Mira yang kini semakin selesa mengemudi program popular, Nona, dia tidak menyangka kemunculannya mengendalikan program kewanitaan itu mendapat sambutan yang amat positif daripada penonton.

Meskipun selesa dan gembira bergelar pengacara Nona, Mira sama sekali tidak terfikir untuk menjadikan cabang pengacaraan itu sebagai kerjaya utamanya. Sebaliknya pelakon yang sedang menjalani penggambaran drama Rahsia Hati Perempuan ini masih mahu terus aktif dalam dunia lakonan.

“Saya gembira dan bersyukur kerana penglibatan saya dalam bidang pengacaraan mendapat sambutan yang positif daripada peminat. Pada awalnya saya agak risau jika kemunculan saya mengendalikan rancangan itu tidak bagus dan takut sekiranya dibandingkan dengan pengacara sebelum ini.

“Saya lega apabila diberitahu siaran Nona yang saya kendalikan mendapat respons positif. Ini menaikkan lagi semangat saya untuk melakukan yang terbaik untuk penonton Nona.

“Pun begitu, saya tidak pernah terfikir untuk memperlahan kerja lakonan. Jika lama tidak berlakon pasti timbul rasa rindu.

“Bagi saya, kedua-dua bidang yang sedang saya ceburi sekarang memberikan kepuasan yang berbeza dan saya seronok melakukannya,” jelas Mira yang juga duta kepada jenama minuman isotonik 100 Plus perisa beri.