Rata-rata warganet dan peminat memuji penyanyi itu yang kelihatan lebih manis apabila mengenakan hijab.

Jika sebelum ini ada yang mempertikaikan kononnya Baby Shima beraksi lincah dan seksi di pentas terutama ketika menyanyikan lagu dangdut, selepas ini siapa tahu Shima akan bertudung?

Ketika ditemuramah Hits, Baby Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, 26, mengaku memang berhasrat untuk berhijab suatu hari nanti.

Baby Shima

“Tidak dinafikan memang ramai suka tengok saya berhijab. Alhamdulillah, terima kasih atas pujian dan doa yang diberikan.

“Tipulah kalau saya cakap tidak pernah berhasrat untuk berhijab. Niat itu memang ada tapi bagi saya biarlah berhijab itu ikhlas dari hati sebagai umat yang memenuhi tuntutan agama. Doakanlah agar saya melangkah ke fasa itu suatu hari nanti.

“Saya tidak mahu berhijab hanya kerana mahu dipandang manis atau dipuji oleh peminat dan orang sekeliling. Silap besar saya jika mengenakan hijab hanya kerana mahukan pujian atau nampak baik di mata manusia.

“Kalau boleh saya mahu berhijab apabila hati, mental dan fizikal betul-betul bersedia. Bila tarikhnya, saya tidak boleh beri jaminan kerana soal hati bukan boleh ditafsir atau dirancang.

“Bila ia datang ikhlas dari hati, jadi tidak timbul soal buka tudung selepas berhijab,” luahnya.

Namun, dia enggan memberi komen apabila ditanya tentang ramai selebriti yang membuka hijab apabila tidak kuat melalui dugaan.

Bagi Baby Shima, setiap orang mempunyai ujian yang berbeza dan tiada siapapun berhak menghukum orang lain.

“Saya tidak boleh komen hal ini kerana sudah pasti mereka mempunyai alasan tersendiri apabila bertindak sedemikian.

“Kita sebagai orang luar, tidak tahu apa sebenarnya yang dilalui oleh mereka. Bukan semua perkara boleh diceritakan kerana ia mungkin mengundang pelbagai andaian yang tidak sedap didengar. Saya anggap isu buka hijab ini terlalu peribadi.

“Daripada kita menghukum, lebih baik doakan yang terbaik buat mereka. Kita sendiri pun tidak tahu apa yang akan berlaku kepada kita pada masa depan,” katanya ringkas.

Maafkan pengikut Instagram

Sempena Syawal ini, Baby Shima akui sudah memaafkan seorang individu yang pernah mengganggunya dengan kata-kata lucah.

Sebelum ini dia membuat laporan polis terhadap seorang pengikut Instagramnya kerana sering memaki hamunnya selain mengeluarkan kata-kata lucah.

“Sempena hari raya ini saya sudah memaafkannya dan tiada rasa dendam di hati. Saya membuat laporan polis sebelum ini kerana mahu memberi pengajaran kepadanya agar tidak mengulangi perbuatan tersebut kepada orang lain.

“Kepada warganet, hentikanlah berbuat dosa dengan menulis yang bukan-bukan. Bayangkan bagaimana agaknya kalau ia terjadi kepada anda atau ahli keluarga sendiri,” katanya yang menyambut lebaran bersama keluarga di Johor Bahru.

Sule hanya kawan

Semakin popular di Indonesia, Baby Shima yang dikenali dengan lagu Roadblock Hatiku tidak terlepas daripada gosip-gosip liar.

Terbaharu, dia dikatakan bercinta dengan pengacara dan pelawak terkenal Indonesia iaitu Sule.

Sule atau nama sebenarnya Entis Sutisma dikatakan mula rapat dengan Baby Shima apabila mereka sama-sama menjayakan sebuah program televisyen yang dikendalikan oleh Sule.

“Itu hanya gosip. Saya dan Sule hanya kawan sesama artis. Saya seronok bekerjasama dengan Sule yang kelakar dan menyenangkan. Walaupun saya artis baharu di Indonesia, dia tidak sombong malah selalu memberikan kata-kata semangat.

“Saya tidak kisah digosipkan dengan Sule kerana gosip itu sudah menjadi asam garam kehidupan artis. Saya pernah kena lebih teruk daripada itu,” kata Baby Shima yang menegaskan dia tidak bercinta dengan duda anak empat itu.