ERRA FAZIRA memberitahu dia enggan menjejaskan tumpuan Shahir dalam pertandingan AF Megastar dengan cerita-cerita peribadi mereka. Foto Erra dan Shahir ini diambil dari laman Instagram yang menunjukkan kedua-dua mereka berpakaian sedondon pada majlis sambutan Aidilfitri lalu.

Tiada sebarang reaksi diberikan Erra terhadap kenyataan Shahir yang sudah bersedia menamatkan hubungan kasih mereka ke gerbang perkahwinan.

Alasan Erra ialah, dia enggan menjejaskan tumpuan Shahir terhadap program realiti terbitan Astro itu.

“Apa kata kita sama-sama beri ruang pada Shahir untuk selesaikan AF Megastar terlebih dahulu, tak berapa hari lagi dah nak selesai. Sebaik berakhir AF Megastar kita lihat nanti perkembangan seterusnya.

“Saya tidak mahu memberi apa-apa reaksi terhadap apa sahaja kenyataan Shahir kerana semua itu (kenyataan) datang dari mulutnya sendiri. Dia yang harus bertanggungjawab,” kata Erra kepada Utusan Online ketika dihubungi sebentar tadi.

Ditanya adakah dia dimaklumkan terlebih dahulu oleh Shahir sebelum memberikan berhubung kenyataan untuk menyuntingnya sebagai isteri, Erra berkata: “Dia (Shahir) ada bercakap pada saya mengenai itu (kahwin). Tetapi, ingin saya tegaskan, hal itu (berkahwin) merupakan satu subjek lain.

“Begitu juga isu-isu lain yang dilaporkan dia media pada masa ini. Kita tunggu sedikit sahaja lagi masa. Saya harap sangat rakan-rakan media memberi dia (Shahir) sedikit ruang untuk selesaikan tugas di AF Megastar.”

Sejak beberapa hari lalu, media-media atas talian melaporkan Shahir yang juga bekas juara program AF musim kelapan mendedahkan hanya Erra sahaja wanita yang bertakhta di hatinya.

Kenyataan Shahir itu dibuat sebagai menafikan dakwaan dia mempunyai hubungan dengan pramugari bernama Mona Syamimi.

“Selama lebih tiga tahun menjalinkan hubungan istimewa dengan Erra, saya berani katakan, hanya dia yang bertakhta di hati. Tiada wanita lain selain dirinya. Saya juga berhasrat ingin memperisterikannya, awal tahun depan,” kata Shahir.

Erra pula selama ini lebih banyak mengambil langkah berdiam diri tanpa memberi sebarang kenyataan yang mengukuhkan hubungannya dengan Shahir. - UTUSAN ONLINE