Ketika ditawarkan membawa watak sebagai Zaidi yang merupakan abang kepada Siti Hajar (Ummi Nazeera) dalam filem Bisik Pada Langit (BPL). Dia begitu teruja kerana yakin dengan naskhah hebat Kabir Bhatia yang merupakan salah seorang pengarah tersohor di negara ini.

“Dari segi skrip mungkin kebanyakan orang dah tahu saya begitu sensitif dalam pemilihannya. Pertama kali mendapat skrip tersebut saya dapat rasakan ia dekat dengan diri sendiri. Sama sekali tidak membosankan kerana ia menceritakan tentang realiti dilema yang biasa dilalui oleh sebuah keluarga.

“Saya lihat cerita yang disampaikan nampak wujud dan memandangkan saya sudah biasa bekerja dengan Kabir dan kami memahami cara kerja masing-masing jadi itu merupakan bonus tambahan pada saya.

“Kemudian saya tengok semua pelakon terlibat merupakan mereka yang serius dengan kerja masing-masing, jadi tak ada sebab untuk saya menolak tawaran itu,” ujar pelakon ini.

Ditanya tentang kehebatan filem ini berbanding filem lain, menurut Beto tema kekeluargaan yang dipaparkan cukup istimewa memandangkan industri filem tanah air semakin ketandusan filem bercorak seperti itu.

“Sejak akhir-akhir ini kita sering dilambakkan dengan cerita-cerita biasa seperti kisah cinta dua darjat, kahwin paksa, perebutan harta, aksi, hantu dan sebagainya yang stereotaip. Saya rasa kali ini penonton mahukan sesuatu yang lebih segar. Tak silap saya kalau adapun kali terakhir filem bertemakan kekeluargaan adalah filem Redha pada tahun lalu.

“Bila adanya cerita seperti ini saya rasa ia adalah satu cara dan perkembangan sihat yang boleh terus mewarnai industri perfileman kita. Ia adalah sebuah cerita realiti bukan fantasi yang menggambarkan kisah sebenar dalam masyarakat yang biasa terjadi,” tutur nya yang sedang menjalani penggambaran musim kedua Kisah Tok Kadi di Singapura.

Sepanjang penggambaran filem ini, Beto mengakui setiap babak yang dilakonkan cukup meninggalkan banyak memori padanya. Namun sesuatu yang tidak dapat dilupakan bila mana Jalil Hamid kehilangan cucu kesayangan sewaktu penggambaran.

“Sehari sebelum meninggal dunia, cucunya ada datang ke set penggambaran kami untuk berjumpa abang Jalil. Namun paling terkejut sehari selepas itu kami menerima perkhabaran duka yang mana cucunya meninggal dunia. Atas sebab apa kami tidak tahu.

“Bila jadinya perkara ini saya dapat rasakan seolah-olah apa yang kita lakonkan mencerminkan kehidupan realiti. Disebabkan itu juga, kami semua yang berada di set dapat merasakan cukup terkesan dengan setiap kisah dalam filem ini,” ujarnya.

Biarpun begitu dia cukup kagum dengan pelakon senior tersebut kerana sikapnya yang sangat profesional dalam kerjanya. Dia tetap ingin menghabiskan tanggungjawabnya walaupun diuji dengan kejadian tragis tersebut.

Naskhah hebat

Filem BPL adalah sebuah naskhah air mata yang mengisahkan tentang pengorbanan yang tidak bertepi seorang ayah Wak Selamat (Jalil Hamid) demi membahagiakan satu-satunya anak perempuannya daripada tiga beradik. Ia mengangkat kisah kekeluargaan sebagai plot utama. 

Wak Selamat dilihat begitu menyayangi anak perempuannya dan sanggup menunaikan segala kehendak permata hatinya bagi memastikan kebahagiaan dikecapi setiap masa. Sama seperti ayah mereka, Zaidi (Beto Kusyairi) dan adiknya, Ikram (Naim Daniel) turut perlu berkorban semata-mata demi memastikan cita-cita Siti Hajar untuk melanjutkan pelajaran di Perth, Australia dapat direalisasikan.

Namun harapan Wak Selamat musnah apabila Siti Hajar terlibat dalam satu kemalangan motosikal berkuasa tinggi di Perth. Lebih meremukkan hati Wak Selamat apabila dia hanya mengetahui hobi anaknya yang gemar menunggang motosikal selepas kecelakaan yang menimpa Siti Hajar.

Sedangkan pada masa yang sama, semua ahli keluarga sudah mengetahuinya sejak dari dahulu lagi. Siti Hajar berada dalam keadaan kritikal dan koma di negara asing yang menjadikan keluarganya di Malaysia tidak senang duduk dan ditindih keresahan.

Percaturan Kabir menampilkan kesemua nama-nama hebat untuk naskhah ini berhasil apabila barisan pelakon berjaya menjiwai watak masing-masing yang pasti mampu mengusik hati penonton. Selain Jalil Hamid, Ummi Nazeera, Beto Kusyairy dan Fadilah Mansor, BPL turut menampilkan pelakon Erwin Dawson dan Naim Daniel.

Bisik Pada Langit diterbitkan oleh Nusantara Seni Karya Sdn. Bhd. telah ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 21 September lalu.