Dicungkil bakat mereka oleh KRU Music milik trio terkenal negara yang dianggotai Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim, kedua-dua gadis tinggi lampai itu bagaimanapun rasa begitu bertuah apabila mendapat bimbingan mereka.

“Ya, diakui bukan mudah untuk menjadi seorang figura awam. Segala tindak tanduk diperhatikan. Kadang-kadang, sukar untuk menjadi diri sendiri kerana perlu berhati-hati daripada ribuan mata yang memerhatikan kita.

“Sebelum ini, kami banyak dengar ungkapan ‘jadilah diri sendiri’ agar mudah diterima ramai. Tapi bila difikirkan semula, kita tidak boleh 100 peratus menunjukkan sikap sebenar kepada umum kerana tak semua yang kita lakukan boleh dijadikan contoh baik kepada peminat.

“Selebriti ibarat ikon. Segala perilaku mudah ditiru pengikut yang obses. Sebab itulah kami berhati-hati dalam setiap keputusan. Lebih sopan di tempat umum, sedangkan kami berdua sebenarnya sangat gila-gila,” kata Zia sambil dipersetujui Bella yang berada di sisinya.

ZiaBella ditemui baru-baru ini ketika majlis pelancaran dua buah album di bawah label KRU Music iaitu Gerenti Best dan Gerenti Karok yang memuatkan lagu-lagu nyanyian artis naungan mereka.

Bella pula mencelah, sejak menjadi penyanyi, dia terpaksa peka dengan sensitiviti masyarakat negara ini. Katanya, dari semasa ke semasa, pelbagai pengalaman baharu ditempuhi dan ia sebagai pengajaran untuk kemudian hari.

“Sebagai contoh, ketika mahu memuat naik gambar ke laman sosial, banyak perkara perlu diteliti terlebih dahulu sebelum mendatangkan impak negatif kepada ZiaBella mahupun pihak KRU sendiri.

“Kami risaukan komen atau respon pengikut terhadap setiap gambar yang dimuat naik. Apapun, kami bersyukur kerana tidak terbabit dengan sebarang kontroversi setakat ini yang boleh mencalarkan imej ZiaBella mahupun KRU,” tambah Bella.

Ujarnya, bimbingan dan tunjuk ajar KRU untuk terus mencipta nama dan terus bertahan dalam bidang ini akan sentiasa diingati supaya ZiaBella menjadi duo ternama di persada muzik tempatan.

Album baharu KRU

Selepas kejayaan album-album kompilasi yang terdahulu, KRU Music sekali lagi tampil dengan dua buah album kompilasi berjudul Gerenti Best dan Gerenti Karok khas buat para peminat artis-artis di bawah label tersebut.

Selaku orang kuat organisasi berkenaan, Edry berkata, Gerenti Best merupakan album cakera padat (CD) audio yang menampilkan 16 lagu hit terbaik KRU Music, kombinasi artis lama dan baharu.

“Antara lagu-lagu hit tersebut adalah Romancinta nyanyian Mojo, Al-Haq... Yang Satu (Mawi & Datuk AC Mizal), Ikut Rentakku (Jaclyn Victor), Rintihan Qalbu (Qalam Band ft. Rafidah Ibrahim), Hanya Diriku (Sofazr), Ingatkan Dia (Wings), Kekasih Abadi (Yusry & Lisa) dan Hitam (Dualiti feat Ameerais).

“Gerenti Karok pula merupakan album kompilasi cakera video digital (DVD) karaoke menampilkan 15 lagu terbaik berserta dengan klip video muzik. Antaranya adalah Adiwira (ZizanKRU), Dikau Saja (Forteen), Romancinta (Mojo) dan beberapa lagu lain.

“Menariknya, para peminat boleh merasakan pelbagai jenis genre muzik menerusi album-album ini baik dari genre balada, pop, rock mahupun hip hop yang pastinya menjanjikan kepuasan buat seluruh peminat KRU Music,” katanya yang hadir pada majlis pelancaran di pusat karaoke Neway, One Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Kedua-dua album kompilasi Gerenti Best dan Gerenti Karok ini boleh didapati di cawangan-cawangan Speedy, Music Valley, dan Rock Corner sekarang dengan harga RM21.90 dan RM19.90.