Elizad Sharifuddin, Zarul Husin dan Fasha Sandha pada sidang akhbar drama Syurga yang Kedua.

Syurga Yang Kedua mengisahkan kehidupan Danial yang berpoligami. Selain Zarul, drama tersebut turut dijayakan oleh Siti Elizad, Fasha Sandha dan ramai lagi.

“Saya sedia dikritik kerana hal poligami ini satu isu yang sangat sensitif. Namun saya tahu masyarakat pandai menilai dan mereka pasti akan kecam Danial bukannya Zarul.

“Saya harap penonton dapat mengambil nilai-nilai positif yang ada dalam drama tersebut kerana drama ini menceritakan tentang kasih sayang dalam keluarga,” jelasnya ketika ditemui dalam majlis pelancaran drama Syurga Yang Kedua di Great Eastern Mall, di sini semalam.

Sementara itu, diberi kepercayaan untuk membawa watak utama, vokalis kumpulan Umbrella ini mengakui berdepan tekanan.

Namun Zarul tidak memerlukan masa yang lama untuk mendapatkan keselesaan dan keserasian ketika menjayakan watak Danial itu.

Tambahan pula katanya, dengan menyertai drama tersebut, dia berpeluang mengikuti kelas lakonan dengan pelakon terkenal Ellie Suriati.

“Ini merupakan kali pertama saya membawa watak utama dalam drama bersiri. Ketika menerima tawaran tersebut, saya tertanya-tanya mampukah saya membawa watak itu.

“Namun apabila difikirkan semula, kalau saya tidak terima, bila lagi saya akan diberi peluang ini. Saya nekad untuk mencuba dan pada masa yang sama saya dapat belajar.

“Saya diberi peluang untuk mengikuti kelas lakonan dan bacaan skrip dengan Ellie. Sejak itu, saya sangat bersyukur kerana tidak menolak tawaran drama ini.

“Kalau saya tolak, pastinya saya tidak akan dapat menyertai kelas seperti ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE.