Malah sejak kecil, penggiat seni yang popular era 1980-an ini menyesuaikan hiburan dengan Islam seperti janjinya kepada nenek, Allahyarham Tengku Zainab Mohamed Petra.

Mengenai pendedahan pertama dalam bidang seni, kata Shah Rezza, 54, semuanya bermula selepas kerap menonton filem Melayu dan Hindi.

Tambahan pula kerap menonton persembahan wayang kulit dan makyung di Istana Kota Lama, Kota Bharu, Kelantan. Ini secara tidak langsung mencambahkan lagi minat dirinya dengan seni dan budaya.

Masih segar dalam ingatannya apabila bertemu dengan pelakon filem Melayu era 1950-an, Allahyarham Osman Gumanti dan primadona makyung Khatijah Awang pada 1972.

Sudah pastilah dia berasa sangat teruja kerana tidak menyangka dapat bertentang mata dengan artis pujaannya.

“Bertemu mereka seolah-olah seperti di dalam mimpi. Saya terpesona dengan sifat rendah diri mereka dan tidak akan lupa kenangan itu sampai bila-bila.

“Bertitik-tolak dari situ, saya menyimpan impian untuk menjadi seperti mereka,” kata Shah Rezza.

Langkah pertama Rezza dalam bidang seni bermula dengan mempelajari ilmu pementasan wayang kulit yang menjadi minat utamanya sejak kecil.

Malah kerana minat yang begitu mendalam, Shah Rezza sanggup bersampan dari Kota Bharu ke Pasir Puteh untuk menuntut ilmu dengan seorang tok dalang yang tinggal di sana.

Biarpun perlu berkolek selama sejam lamanya untuk sampai ke rumah tok dalang yang kebanyakannya pada waktu itu tinggal di kawasan pedalaman, dia tidak kisah.

“Saya teruja melihat cara kerja tok dalang dan pementasan bayang yang terhasil daripada patung yang cukup istimewa di mata saya.

“Rupa-rupanya pementasan wayang kulit mempunyai teknik yang unik untuk menarik minat pengunjung.

“Sebab itu saya tak kisah penat berkolek demi wayang kulit,” katanya yang sudah meminati wayang kulit sejak usia 11 tahun.

Langkah kedua Shah Rezza dalam bidang seni diteruskan dengan mencuba nasib dalam bidang lakonan dan penulisan skrip ketika berusia 14 tahun.

Mendapat inspirasi daripada drama berjudul Permintaan Terakhir lakonan Uji Rashid dan Fauziah Ahmad Daud maka terhasil naskhah pertamanya berjudul Penyelewengan.

Lebih membanggakan apabila hasil kerja pertamanya itu mendapat tempat kedua dalam pertandingan Drama Kelantan pada 1975.

Kejayaan yang diraih sewaktu di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail (SMSI), Kota Bharu itu menjadikan dia semakin bersemangat untuk menjadi orang seni.

Apatah lagu sewaktu keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur pada 1975, dia yang bersekolah di St. John’s Institution (kini Sekolah Menengah Kebangsaan St. John) terkenal sebagai tukang karut apabila berjaya mempertahankan kejuaraan dalam pertandingan dikir barat selama tiga tahun berturut-turut sekolah berkenaan.

 

Dunia Peragaan

PERTEMUAN dengan Ratu Cantik 1973, Maggie Loo di sebuah pusat hiburan membuka lembaran baharu dalam hidup Shah Rezza apabila diberi kepercayaan untuk menjadi peragawan untuk persembahan fesyen di sekitar ibu kota.

“Pilihan saya itu menimbulkan isu dalam kalangan orang istana apabila ada yang tidak suka saya berkecimpung dalam bidang berkenaan.

“Bagaimanapun saya boleh meneruskan minat dalam dunia peragaan dengan syarat tidak boleh menggunakan gelaran di pangkal hadapan nama saya.

“Dan saya terima syarat itu,” katanya yang pernah menyimpan cita-cita menjadi r peguam kerana meminati bidang undang-undang sebelum menjadi model.

Shah Rezza juga pernah menjadi penari kumpulan Saadiah dan pernah menjadi penari latar Hail Amir dan Uji Rashid pada program hiburan Dwi Puspa di RTM pada 1977.

Langkah tariannya yang bagus itu juga menyebabkan dia dipilih sebagai juara pertandingan tarian Saturday Night Fever yang dianjurkan sebuah hotel pada tahun yang sama.

Aktif menyertai beberapa pertandingan menari, akhirnya Shah Rezza menjadi koreografer.

“Saya juga pernah bekerja dengan syarikat mecari bakat milik Ali Bakar, Show Masters pada 1981. Pada waktu itu, saya menjadi pengurus kepada kumpulan Blues Gang, Aman Shah dan Allahyarham Sharifah Aini.

“Pada masa yang sama, hubungan baik dengan Allahyarham Azean Irdawaty turut memberi peluang kepada saya menceburi bidang lakonan maka muncullah filem pertama lakonan saya berjudul Mangsa pada 1981,” katanya yang membintangi 14 buah filem dalam tempoh lapan tahun sehingga 1989.

Antara filem yang menaikkan nama Shah Rezza termasuk Ali Setan, Kembara Seniman, Igau-Igau, Ali Setan 2, Balik Kampung, Antara Dua Hati, Jejaka Perasan, Marah-Marah Sayang dan Hati Bukan Kristal.