Kejadian tersebut berlaku dengan pantas sehingga menyebabkan Zizan tidak sedarkan diri.

"Kemalangan tersebut berlaku sewaktu saya sedang melakukan babak aksi yang agak berat. Ketika sedang melompat saya tergolek dan terus pitam.

"Saya tak tahu apa yang berlaku selepas itu. Bila sedar saya nampak ada pihak bomba yang memberi bantuan dan rawatan," katanya kepada Utusan Online.

Zizan yang memulakan kerjaya seni sebagai seorang pelawak memuat naik gambarnya ketika sedang dirawat di Instagram.

Gambar itu disertakan dengan keterangan meminta supaya peminat tidak membeli cetak rompak atau merakam filem di pawagam sebagai tanda menghargai kerja keras penggiat seni.

Tambahnya, buat masa ini dia hanya berehat di rumah dan dalam masa yang sama mendapat rawatan dan nasihat daripada doktor.

"Pihak produksi ada bertanya sama ada saya mahu ke hospital atau tidak. Saya cakap hanya mahu pulang berehat di rumah sahaja.

"Saya telah menghubungi doktor peribadi saya dan bertanya ubat apa yang sesuai. Kecederaan saya tak teruk pun, cuma saya rasa keadaan fizikal saya terlalu lemah akibat kuat bekerja," ujarnya yang bergandingan dengan Shaheizy Sam dalam filem itu.

Sementara itu, Zizan menolak untuk mengambil rehat yang panjang kerana tidak mahu mengganggu momentum semangatnya untuk menghabiskan penggambaran.

"Saya rehat malam semalam sahaja. Hari ini saya akan ke set penggambaran semula dan cuba lakukan setiap babak yang saya mampu.

"Tetapi kalau saya rasa babak itu tidak boleh dilakukan, saya tidak akan buat untuk mengelak kesihatan saya bertambah teruk," jelasnya. - UTUSAN ONLINE