Sebaliknya, penyanyi legenda negara itu turut mendapat sokongan daripada penyanyi kelahiran Malaysia yang kini menempa nama di Hollywood, Yuna serta penyanyi ternama dari Indonesia, Afghan.

Kedua-dua bintang popular itu menyampaikan mesej peribadi mereka di laman sosial Instagram dengan menyatakan harapan Sheila Majid The Concert Kuala Lumpur 2017 akan mencapai kejayaan yang memberangsangkan.

Selain merakamkan ucapan semoga konsert berkenaan berjaya, Yuna turut mengambil kesempatan menyatakan penghargaan kepada Sheila yang selama ini menjadi idolanya serta sering memberi inspirasi kepada penyanyi-penyanyi tempatan sepertinya.

Dalam ucapan itu, Yuna turut memohon maaf kepada penghibur yang sudah lebih 32 tahun aktif di gelanggang seni kerana tidak dapat hadir menonton konsert yang ditunggu-tunggu ramai itu.

Sementara itu, Afghan turut berkongsi mesej yang serupa dengan Yuna mengenai peranan besar yang dimainkan Sheila dalam karier seninya selama ini.

Kata Afghan dalam mesej yang dirakamkannya itu, dia percaya Sheila akan melakukan yang terbaik dalam konsert yang akan berlangsung di Stadium Negara di sini.

Tidak ketinggalan, penyanyi utama kumpulan Gigi, Armand Maulana juga menyatakan keyakinannya bahawa keupayaan Sheila mengadakan konsert tidak perlu dipertikaikan lagi kerana penghibur berusia 52 tahun itu memiliki pengalaman luar biasa.

Seorang lagi artis yang memuat naik mesej buat Sheila ialah pelakon popular Fazura buat penyanyi kesayangannya.

Utusan Online berkongsi petikan video Yuna dan Afghan yang diambil dari Instagram sheilamajidofficial. - UTUSAN ONLINE