Semua itu menjadikan pengkisahan sejarah sang penjuang untuk tatapan dan iktibar  generasi selepas dirinya perlu dicatat menggunakan gaya bahasa dan lenggok kata yang bertepatan dengan keperwiraan, jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh sang pejuang bangsa.

Namun, keadaan tidak mungkin sama sekali dapat diulangi apabila pengkisahan sang pejuang bangsa itu dilakukan dalam bentuk teater.

Inilah cabaran yang dihadapi oleh pengarah teater Putera La Galigo, Dr. Rosdee Suboh dalam mempersiapkan kru dan para pelakonnya untuk hari pementasan pada yang akan berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam Selangor pada bulan hadapan.

Kata beliau, dua cabaran yang perlu diharungi apabila mengarah teater berkenaan iaitu ‘menghidupkan’ watak dan jalan penceritaan teater yang berkisar kepada kedatangan Raja Lumu ke Kuala Selangor sebelum baginda diangkat menjadi Sultan Selangor pertama dengan gelaran Raja Salehuddin itu.

Menurut beliau, jika tidak berhati-hati dan teliti, pegkisahan sejarah dalam bentuk teater boleh menyebabkan penonton merasa bosan.

"Sebagai pengarah perlu menangkis persepsi ini dengan menambah ‘warna’ pada pementasan terbesar di negeri Selangor ini.

"Untuk itu, penting bagi mencapai tujuan itu, pementasannya perlu diterapkan elemen tarian, lawak jenaka, muzikal serta ketelitian yang paling tinggi diberikan kepada penggunaan prop dan pakaian agar ia menepati dengan fakta sejarah dan garis masanya. diterapkan dalam teater ini," ujar beliau.

Pun begitu tegas beliau, semua itu tidak akan mendatangkan kesan yang dikehendaki tanpa penjiwaan yang sewajarnya oleh para pelakon dalam membawa watak mereka.

Sebagai pengarah, Rosdee menyatakan, dia hanya boleh membantu pelakon daripada segi fakta dan informasi watak yang diberikan. Untuk penjiwaan watak, mereka perlu mempunyai imaginasi untuk menjiwai watak berkenaan.

Teater tersebut menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air termasuk Amar Asyraf sebagai Raja Lumu, Hafidz Roshdi, Tasha Shila, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Raja Azura dan Isa Khan.

Bagi pendukung watak Puteri Perak, Tasha Shila bagi menjiwai dan menghidupkan karekter yang dibawa dia tealh memberikan penumpuan dan masa untuk mempelajari seni tari Bugis, silat dan nyanyian.

Kata pelakon berusia 29 tahun yag nama sebenarnya  Natasha Sheila ini, dia telah memberikan tempoh selama dua bulan untukmemastikan dapat menjiwai watak Puteri Perak.

“Teater ini merupakan satu perkara yang berlainan dengan lakonan drama dan filem, pastinya saya mahu berikan yang terbaik apabila perlu dilakonkan di depan audiens secara langsung apatah lagi watak Puteri Perak diberikan ini amat menarik dan sarat nilai-nilai perjuangan mempertahankan agama, bangsa dan tanah air tercinta.

“Menjiwai wakak Puteri Perak ini sepenuh hati untuk memberikan persembahan terbaik kelak merupakan satu perkara yang amat berbaloi,” ujarnya.

 

Bagi Isa Khan yang memegang watak Jacob Pieter dalam teater ini pula, pementasan ini merupakan satu pendedahan kepada orang ramai terutama golongan muda berhubung sejarah Kesultanan Selangor.

Isa menambah, dia berasa sangat teruja dan gementar kerana merupakan lakonan teater pertamanya.

Disebabkan kesan mendalam sejarah Kesultanan, lelaki berusia 23 tahun yang memiliki nama  Mohamad Fara Aidid Ali Dad Khan ini memberikan janji akan memberi persembahan terbaik kepada penonton.

"Kesan kisah Raja Lumu ini amat merupakan amat besar kepada rakyat Selangor dan negara dan ini membuatkan saya gementar tambahan pula ini merupakan lakonan teater saya yang pertama.

"Kedua-dua perkara inilah yang menjadi pendorong kepada saya untuk giat menjalankan latihan sejak dua bulan lepas agar saya dapat memberikan persembahan yang amat berkesan kepada para penonton," kata beliau.

Apa pun, magnitud cabaran pementasan teater Putera La Galigo ini paling jelas dapat dilihat daripada penerangan Penerbit Eksekutifnya, Megat Mohd. Noor Salleh Ghani apabila dia menerangkan mengenai kepentingan pendedahan sejarah kesultanan terdahulu kepada khalayak terutama untuk generasi masa depan.

“Teater ini merupakan penceritaan megenai sejarah kesultanan Selangor yang bermula dengan kesultanan Bugis yang mula bertapak di negeri ini 250 tahun.

"Dengan mengangkat sejarah ini dalam bentuk fizikal, para penonton khususnya rakyat Selangor dapat melihat betapa besarnya jasa dan pengorbanan Raja Lumu dan Kesultanan Selangor kepada mereka, yang mana tanpa asas yang dibina dan diperjuangkan baginda, anak watan negeri ini tidak akan mempunyai identiti dan jati  diri yang dimiliki ketika ini," katanya ketika ditemui semasa mengunjungi Makam Diraja Kota Malawati Kuala Selangor bersama para pelakon dan kru teater Putera La Galigo baru-baru ini.

Untuk makluman, teater berkenaan akan dipersembahkan pada 16 Disember pukul 8.30 malam manakala 17 dan 18 Disember bermula pukul 3.30 petang dan 8.30 malam.

Tiket-tiket dijual pada harga RM35 dan RM200 boleh didapati di www.airasiaredtix.com atau hubungi talian 03-87754666 dan 03-41019332 untuk pertanyaan lanjut. - UTUSAN ONLINE