Menyedari hakikat ini, pengarah teater Putera La Galigo, Dr. Rosdeen Suboh baru-baru ini telah mengadakan lawatan ke lokasi-lokasi bersejerah yang mempunayi kaitan dengan pengasas Kesultanan Selangor, Raja Lumu bersama kru dan para pelakonnya.

Ini bagi membolehkan mereka menghayati kisah sejarah itu serta menghargai jasa baginda agar kualiti pementasan yang akan diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam pada 16 hingga 18 Disember ini berada pada tahap tertinggi.

Menurut Rosdeen, berbeza dengan karya-karya rekaan, skrip teater yang berasaskan karekter sejarah amat sukar dilakonkan kerana watak-watak yang terbabit sememang sudah dikenali oleh masyarakat dan ini membuatkan penonton akan bersikap  lebih kritikal dalam menilai sejauh mana keberkesanan lakonan yang dipersembahkan oleh pelakon.

"Watak-watak sejarah mempunyai ciri-ciri yang tersendiri yang sudah diketahui oleh masyarakat melalui maklumat di dalam buku-buku, rekod dan penyampaian waris menjadikan penghayatan mendalam karekter yang dilakom satu kemestian jika mahu pementasan yang dilakukan barjaya menarik perhatian serta mendatangkan kesan kepada penonton.

"Selain daripada pembacaan, penghayatan paling berkesan hanya boleh diperolehi dengan mengadakan lawatan ke lokasi bersejarah seperti Makam Raja Lumu yang kami ziarahi hari ini," jelas beliau kepada Utusan Online.

Menyentuh perkara sama,  Orang Besar Daerah Kuala Selangor merangkap Penjaga Makam Raja Lumu, Datuk Mohamad Yaacob Ismail pula menambah, ziarah yang dilakukan oleh Rosdeen dan kru serta para pelakonnya itu juga akan meluaskan sudut pandang mereka terhadap kesan sejarah Kesultanan Selangor kepada rakyat negeri tersebut secara khusus dan negara secara umum.

"Ziarah yang dilakukan ini akan mendidik mereka bagaimana perkembangan Kesultanan Selangor membentuk pembangunan jati diri rakyat negeri ini dan juga pembinaan negara secara langsung.

"Pengetahuan ini amat penting kerana ia perlu disampaikan melalui pementasan yang akan diadakan. Untuk itu saya amat berterima kasih kepada mereka atas usaha yang dijalankan," ujar beliau ketika ditemui Utusan Online di sini selepas lawatan yang diadakan Sabtu lalu.

Antara pelakon teater Putera La Galigo yang menyertai lawatan berkenaan ialah pendukung watak Puteri Perak dan Jacob Pieter iaitu Tasha Shilla dan Isa Khan serta Penerbit Eksekutif  teater berkenaan, Megat Mohd Noor Salleh Ghani dan Penerbitnya,  Nora Aisyah Abd Razak. - UTUSAN ONLINE