Walaupun terdahulu, telah disiarkan di kaca televisyen kehidupan artis dan selebriti seperti Emma Maembong dan adik beradiknya (The Sisters), Datuk Seri Vida dan Datuk Aliff Syukri namun program yang memaparkan kehidupan Nur Sajat mungkin tiada tempat untuk siaran teleisyen.

Oleh itu, dalam dunia IT tanpa sempadan, alternatif terpampang di hadapan mata dengan adanya platform siaran dalam talian atau online.

Justeru 30 episod berdurasi tujuh minit setiap episod yang memaparkan kehidupan dan rutin harian Sajat hanya dapat ditonton menerusi kaedah strimming.

Jika selama ini khalayak yang mengikuti media sosial Instagram Sajat dapat menonton rakaman berdurasi satu minit sahaja tetapi di Tonton, dapat melihat kehidupan insan ini dengan tempoh durasi yang lebih panjang.

Nur Sajat Rated Xtra diumumkan siarannya hari ini menerusi langganan www.tonton.com.my dengan tontonan secara percuma dua episod pertama.

"Program rakaman ini lain daripada yang lain kerana tidak ada pengarah yang mengarahkan.

"Kru penggambaran pula mengikuti saya setiap masa kerana ini adalah realiti kehidupan saya 24 jam sehari," katanya.

Menurut Sajat, Nur Sajat Rated Xtra, beliau sedar tindakan memaparkan kehidupan peribadinya dan keluarga boleh mengancam keselamatan. 

Namun beliau mengakui, aspek itu telah diambil kira dan risiko ancaman keselamatan tidak diketepikan.

"Saya bukan mahu mengejar populariti tetapi apa yang dipaparkan ialah daya sebagai seorang usahawan yang menjalankan perniagaan secara dalam talian bermula empat tahun lepas dengan modal RM500.

"Sebagai seorang yang bermula dari bawah, saya bermula dengan seorang pekerja dan hari ini, dengan tiga jenis perniagaan yang diusahakan, saya ada 40 orang pekerja dan ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai," jelasnya.

Tegas Sajat, apabila menjadi ketua dalam Wisma miliknya, ada ketikanya beliau perlu bersikap tegas dengan para pekerja dan situasi itu ada dirakamkan dalam salah satu episod Nur Sajat Rated Xtra.

Pun begitu ujar Sajat, hubungannya dengan pekerja adalah baik dan harmoni.

Dalam majlis yang sama pada petang ini, Sajat turut melancarkan single terbaharunya berjudul Makhluk Penggoda, ciptaan Aepol Roza lirik oleh Iman Imran.

"Selepas bersama Datuk Aliff yang mempunyai single Abang Nak Tegur, saya dipujuk beberapa kali oleh penulis lirik Iman Imran untuk melahirkan single.

"Akhirnya saya lahirkan Makhluk Penggoda dan kelahiran single saya adalah semata-mata untuk mewarnai industri muzik dan hiburan tanah air.

"Tiada sedikitpun niat untuk menyekat rezeki penyanyi di luar sana ataupun single ini sebagai strategi perniagaan sebaliknya seperti mana yang saya jelaskan tadi, sekadar mewarnai industri muzik dan hiburan sahaja," kata Sajat yang suatu ketika dahulu pernah berlakon filem, menjadi penari di bawah Pak Ngah Production dan penyanyi latar Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Nur Sajat juga memberitahu, beliau pernah menyertai pertandingan Bintang Asli Hilir Perak pada tahun 1998 tetapi kini dikenali sebagai jutawan kosmetik. - UTUSAN ONLINE