Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Akademi Seni Dan Warisan (Aswara) berkata, imej baharu akhbar Mingguan Malaysia itu dilihat cukup segar untuk tatapan para pembaca.

"Pagi ini, belek-belek akhbar ternampak akhbar Mingguan Malaysia sudah berwajah baru. Daripada saiz besar dah tukar ke saiz kecil atau tabloid. Dan esok sudah tentu Utusan Malaysia juga akan berwajah baru.

"Apa yang dapat Ct (Siti Nurhaliza) katakan wajah baharu ini sangat segar, jadi tunggu apa lagi, dapatkah naskhah anda sekarang...Tahniah Kumpulan Utusan," katanya dalam status Instagram beliau, hari ini.

Setelah kira-kira 53 tahun memangkinkan fikiran rakyat menerusi naskhah bersaiz besar atau broadsheet, Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia hari ini melalui satu lagi revolusi dalam dunia persuratkhabaran apabila tampil dengan wajah baharu. 

Bermula hari ini, akhbar arus perdana broadsheet terakhir itu akan membuka era baharu apabila buat pertama kali bertukar kepada cetakan bersaiz tabloid atau kompak sekali gus menjadikan Mingguan Malaysia sebagai naskhah pertama dengan saiz itu. - UTUSAN ONLINE