MARIANI ISMAIL

Menurut Shasha, ibunya juga berada dalam keadaan stabil dan tidak mendapat rawatan di hospital seperti yang diperkatakan orang ramai.

Sehubungan itu, Shasha yang dihubungi Utusan Online berkata, dia terkilan dengan dakwaan-dakwaan tidak berasas seperti yang diperkatakan ramai.

“Memang benar akhir Oktober lalu, mummy (panggilan buat ibunya) pernah dimasukkan ke hospital kerana muntah darah. Selepas pemeriksaan, doktor kata ada darah beku, tetapi selama tiga hari sahaja mummy berada di hospital.

“Selepas keluar dari hospital, mummy berada di rumah Lis (Melisa Saila) sebab saya bekerja. Bila Sabtu dan Ahad sahaja, mummy balik rumah saya. Sekarang ini mummy di rumah saya,” jelasnya.

Jelas Shasha, pada masa ini seluruh ahli keluarganya belum bersedia untuk membenarkan orang luar termasuk pihak media untuk bertemu dengan ibunya.

“Harap maaf ya kerana buat masa sekarang, saya sedang menunggu semua adik-beradik datang berkumpul termasuklah adik-beradik mummy. Apabila semua ahli keluarga sudah berkumpul dan mengambil kata sepakat, barulah saya boleh benarkan orang luar melawat mummy.

“Saya tahu ramai yang ingin mengetahui perkembangan terkini mummy, tapi harap bersabar dulu. Apa yang saya boleh kata, dalam keadaan usia sebegini, sesiapa pun akan berada dalam keadaan kurang sihat,” katanya terus terang.

Mariani atau nama sebenarnya Mariani Ismail yang juga kakak kepada biduanita negara, Allahyarham Puan Sri Saloma merupakan pelakon veteran seangkatan dengan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Banyak filem lakonan seniwati itu seperti Masam-Masam Manis, Labu Labi, Nasib Si Labu Labi yang masih ditayangkan sehingga ke hari ini. - UTUSAN ONLINE