Baru sahaja tamat membintangi siri popular Titian Cinta yang disiarkan di TV3, anak kelahiran Jeli, Kelantan itu bagaimanapun berusaha untuk memperbaiki kekurangannya dari semasa ke semasa.

“Saya baru sahaja menetap di Kuala Lumpur kurang dari dua tahun. Sekarang ini, saya cuba bergaul dengan kawan-kawan luar Kelantan supaya dapat perbetulkan sebutan dan slanga.

“Bahkan sebelum ini memang ada produser dan pengarah yang menyuarakan pandangan mereka mengenai permasalahan ini. 

“Tak dinafikan, hal ini sedikit sebanyak membataskan perkembangan kerjaya saya untuk mendapatkan watak lebih mencabar, namun saya akan terus berusaha,” katanya kepada Utusan Online.

Bakal tampil menerusi drama Bilo Nogori Jupo Kelate dan Jurnal Suraya tidak lama lagi di TV3, Adam berharap dia dapat mengatasi masalah yang dihadapinya dalam kadar segera.

Menurut anak muda itu, dia memperbanyakkan latihan bercakap slanga bahasa Melayu harian atau bahasa pasar dengan rakan-rakan dari negeri lain sebagai langkah inisiatif. 

Tambahnya, dia menjadikan Izzue Islam sebagai bahan rujukan untuk lebih berdaya saing memandangkan pelakon berkenaan adalah rakan senegerinya. - UTUSAN ONLINE