Ekoran itu, Hazra atau Hasraniza Dollah mengambil langkah inisiatif sendiri ‘menyelamatkan’ genre muzik tersebut daripada terus ditelan zaman dengan merakamkan single sulung bertajuk Lazuli.

“Lagu ini adalah hasil ciptaan Ijan Perkusi dan Totoy, manakala lirik pula ditulis oleh Che Kem. Lazuli bermaksud batu permata berwarna biru, sekali gus memberi makna sesuatu yang berharga.

“Jujurnya, saya menjadikan Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris dan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai sumber inspirasi untuk mempelajari teknik lenggok dan patah nyanyian mereka.

“Selain itu, selaku anak didik Pak Ngah, dia banyak membimbing dan mengajar saya lebih mendalam untuk memahami muzik etnik bukan sahaja secara teori, bahkan aspek teknikal.
 
“Masa awal-awal masuk studio untuk memulakan proses rakaman pada tahun lalu, saya ambil masa kira-kira lima jam lamanya untuk mengenal pasti nada suara paling sesuai bagi menyanyikan lagu Lazuli.

“Suntingan kali terakhir dilakukan terhadap vokal saya adalah pada awal bulan lalu dan Alhamdulillah, siap juga akhirnya,” jelas anak kelahiran Limbang, Sarawak itu.

Menurut Hazra, meskipun terpaksa bersusah-payah menghasilkan Lazuli, dia meluahkan rasa lega dan puas hati kerana berjaya memiliki sebuah single berentak pop tradisional yang diidamkan selama ini. - UTUSAN ONLINE