Buktinya lagu single Ragaman yang mengetengahkan reggae dan pop yeh yeh tetapi dalam nada moden, menjadi tular sehingga video muziknya mencecah lebih 15 juta tontonan.

Ia juga menjadi sohor kini dan berada di kedudukan teratas dalam Youtube Malaysia dan menjadi penutup tahun yang gembira buat penyanyi ini.

Tidak berakhir di situ, untuk pembuka tahun 2019 pula, Faizal sudah bersedia mengegarkan sekali lagi gelanggang muzik tempatan dengan naskhah terbaharunya.

Lagu berjudul Bisa Aja, yang menggandingkan beliau dengan dua lagi komposer iaitu Mike Chan dan Ezra Kong, seperti satu magnet untuk menarik peminat menghayati apa yang terkandung di dalam lagu tersebut.

Dengan kekuatan elemen rock dan country pop di dalamnya, Faizal Tahir turut menampilkan petikan gitar solonya sendiri sebagai memberi jiwa kepada lagu tersebut.

Sengaja memilih judul dan struktur lirik lagu yang menggunakna istilah atau slanga bahasa Indonesia, Faizal sedar sebagai satu bangsa serumpun, perkara tersebut sekali gus boleh mendekatkan pencinta muzik dua negara.

Malah, mengambil konsep lebih santai, Faizal turut menggunakan istilah Indonesia lain seperti ‘mahu bicara’ dan bahasa Inggeris ‘cell phone’ kerana ia lebih sinonim dan digunakan secara meluas di negara tersebut.

Faizal yang memang terkenal dengan gimik dan konsep yang tersendiri turut mengundang tanda tanya peminat apabila menyelitkan klip video dan gambarnya ketika berada di Jepun sebagai iklan permulaan lagu Bisa Aja.

Bisa Aja diterbitkan oleh syarikat rakaman milik Faizal sendiri iaitu Faithful Music dengan kerjasama Warner Music Malaysia sebagai pengedar. Single ini kini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music .