Menurut Norman, pembubaran yang berlaku hanyalah ke atas kumpulan trio tiga beradik tetapi syarikat KRU Music masih tetap kekal dan diteruskan seperti sediakala. 


Malah kata Norman, semakin menghampiri tarikh konsert bulan depan, perbalahan di antara mereka bertiga lebih kerap berlaku kerana mahu menghasilkan yang terbaik pada persembahan terakhir KRU kelak. 


“Tetapi dalam masa yang sama, ikatan kami bertiga juga semakin erat kerana banyak perbincangan secara profesional berlaku untuk memastikan konsert terakhir KRU ini meninggalkan kesan istimewa kepada para peminat,” kata Norman ketika ditemui pada majlis pelancaran KL Jamm di Quill City Mall di sini hari ini. 


Mengakui yang beliau agak emosi pada sidang akhbar mengumumkan pembubaran KRU Rabu lepas, Norman berkata beliau tidak dapat mengelakkan rasa sedih ketika mengucapkan terima kasih kepada semua yang pernah terlibat membantu kerjaya selama 25 tahun kumpulan itu. 


“Waktu mengucapkan terima kasih itu, saya teringatkan wajah kedua-dua ibu bapa, peminat dan mereka yang banyak membantu  selama ini. Maklumlah nak naik dalam bidang ini bukannya mudah.


“Saya harap peminat tak salah faham dengan pembubaran ini. Kami adik-beradik tidak ada apa-apa masalah. 


“Lagi pula, lebih elok kami buat penutup dan berhenti ketika nama masih diingati orang. Jika bubar ketika usia KRU 30 tahun atau 50 tahun, peminat pun dah tak kenal kami,” kata Norman lagi. 


Tambah Norman, syarikat KRU Music beroperasi seperti biasa meski pun adik-adiknya Yusry dan Edry masing-masing memiliki syarikat sendiri. 


“KRU Music sebagai syarikat induk dan saham kami bertiga masih ada di dalamnya. Mereka juga masih bertanggungjawab di dalam aktiviti syarikat. 


“Sekiranya KRU Music mempunyai projek yang bersesuaian, akan dibahagikan kepada Yusry dan Edry mengikut kepakaran masing-masing,” kata Norman lagi. 


Sementara itu, KL Jamm yang bakal berlangsung di ibu kota pada 26 hingga 29 April tahun depan bakal menghimpunkan karyawan tempatan, serantau dan antarabangsa menerusi pelbagai aktiviti persembahan, simposium, ekspo dan pelbagai lagi mengenai muzik. - UTUSAN ONLINE