Ben atau nama Islamnya, Ben Adam Abdullah, 54, ketika ditemui di program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM di Angkasapuri di sini hari ini, berkongsi pengalamannya sepanjang menerima rawatan serta rancangan untuk kembali aktif dalam bidang seni.

Ben turut merakamkan te­rima kasih kepada semua pihak yang menyokong dan membantunya selama ini dan berkata beliau berasa selesa dan segar dengan imej baharu ini.

“Saya juga sangat berpuas hati dengan layanan pihak hospital. Saya mengikut semua pe­raturan di sana memandang­kan saya pesakit mereka. Saya juga tidak merungut pun de­ngan makanan yang disediakan.

“Pihak hospital turut menyedia pelbagai aktiviti untuk saya bersama pesakit lain seperti bermain karom dan sesekali saya menghiburkan mereka dengan nyanyian saya,” ujarnya.

Selain itu, penyanyi yang popular dengan lagu Stanza Sepi Sekeping Hati ini menyua­rakan hasrat untuk ke Mekah bagi mengerjakan Umrah selepas selesai merakam lagu di Jakarta, Indonesia, selepas sambutan Aidilfitri tahun ini.

“Selepas merakam lagu di Jakarta nanti, saya merancang untuk menunaikan umrah. Di samping beribadah, saya juga ingin merakamkan muzik video lagu baharu tersebut di sana,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave berkata, Konsert Kasih dan Harapan Ben Nathan bakal diadakan pada 21 Mei ini di Saloma Bistro, Jalan Ampang.

Tambah Dave, konsert dan majlis makan tengah hari amal anjuran bersama Jojo Events itu menyasarkan jumlah kutipan derma sebanyak RM50,000.

“Saya amat mengalu-alukan kehadiran artis-artis untuk membuat persembahan amal pada konsert tersebut. Kami juga akan menjual meja untuk semua pihak termasuk peminat yang ingin menyaksikan konsert ini sambil beramal,” jelasnya.

Berkongsi mengenai keadaan Ben, Dave berkata dia kini masih menjalani rawatan di HKL dan menunggu masa sesuai untuk dibawa pulang ke rumah keluarganya.

Ben sebelum ini pernah menjadi perhatian masyarakat dan media apabila tersebar video mengenai kehidupannya sebagai gelandangan. Berikutan video berkenaan yang menjadi tular, pelbagai pihak tampil membantu penyanyi itu.