Menurut DJ Dave, perbincangan terperinci mengenai perkara tersebut telah dilakukan dengan pengasas Jojo Events, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir memandangkan lagu untuk Ben telah siap digubah.


“Saya dan Syed Yusof telah berbincang mengenai rancangan tersebut dan kami akan membawa Ben ke Jakarta sama ada pada November atau Disember ini.


“Kami telah mendapatkan tiga buah lagu ciptaan sepenuhnya oleh komposer dari Indonesia. Ketiga-tiga lagu berkenaan telah pun siap digubah dan hanya menanti untuk dirakam oleh Ben.


“Saya turut meminta sebuah lagu daripada Datuk M. Nasir dan akan memilih sebuah lagu yang sesuai dengan suara Ben dan proses rakaman akan terus dijalankan di sana.


“Kami akan menggunakan semua dana yang berjaya dikumpul ketika konsert amal untuk Ben yang berlangsung pada 21 Mei lalu,” ujar DJ Dave ketika ditemui pada majlis sumbangan sempena perayaan Deepavali oleh YA1M di Kelab Diraja Selangor, di sini hari ini. 


Pertengahan Mac lalu, Ben diselamatkan daripada kehidupan sebagai gelandangan. Ben menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan kesihatannya kini semakin baik. - UTUSAN ONLINE.