Ben atau Muhammad Amir Sabaruddin menegaskan, faktor utama yang diambil kira untuk mendekati pelakon Rahsia Hati Perempuan itu adalah disebabkan sikap Uqasha yang jujur dan telus.

“Sewaktu kami keluar bersama, dia hanya menjadi dirinya sendiri, tidak dibuat-buat. Pendek kata, keperibadiannya adalah asli, bukannya palsu,” katanya berterus terang.

Jelas Ben, dia dan Uqasha mula mengenali antara satu sama lain beberapa tahun dahulu semasa berlakon dalam drama yang sama dan bertemu kembali di set penggambaran Cinta Tiada Ganti pada bulan lalu.

“Dulu kami pernah sekali berlakon bersama menerusi sebuah drama. Namun, pertemuan kali pertama itu adalah sekadar hubungan sesama rakan lakon di dalam set, tidak dibawa hingga ke luar,” jelas Ben mengingati detik awal perkenalan.

Bagaimanapun, ketika menjalani penggambaran telenovela Cinta Tiada Ganti yang kini disiarkan di slot Tiara, saluran Astro Prima, Ben menyedari hubungan mereka semakin mesra dan rapat.

“Uqasha sering menemani adiknya, Nelydia Senrose yang merupakan pelakon utama siri tersebut ke lokasi penggambaran dan sejak itulah kami semakin mesra dan rapat,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE