Program terbitan NS Star Sdn. Bhd., yang disiarkan menerusi saluran Okey (109 Astro) setiap Ahad, 2.30 petang sejak Mac hingga 17 Jun ini memberi tumpuan tentang sejarah kopi dari segi budaya, teknik pembuatan serta kafe-kafe yang menyediakan minuman dan pemanis mulut berasaskan kopi.

Menurut penerbit program, Nasreen atau Darling Ngasri, pihaknya telah mengambil masa selama sebulan untuk menjelajah negara Belanda, Itali, Perancis, Hungry, Croatia dan Dubai.

Antara kota besar yang menjadi lokasi penggambaran program berkonsep travelog kembara rasa desert termasuklah Amsterdam, Hague, Paris, Turin, Mantova, Verona, Venice, Zagreb, Budapest dan Dubai.

Jelasnya, idea program ini tercetus apabila dia mendapati belum ada program tempatan yang mengupas tentang sejarah dan rahsia di sebalik nama-nama kopi yang kian popular di kafe-kafe popular tanah air seperti Café Latte, Machiato, Espresso dan Cortado.

“Nama-nama jenis kopi itu adalah inovasi daripada masyarakat Eropah. Selain itu, budaya unik dan pantang larang mereka terhadap kopi juga merupakan tarikan awal dengan tercetusnya idea ini.

“Cabaran sepanjang penggambaran ini adalah apabila kami terpaksa mengejar tarikh-tarikh penting dan temu janji sepanjang perjalanan seperti Festival Kopi di Amsterdam, Sambutan Hari Kopi Percuma dengan Serangkap Puisi di Croatia, Universiti Kopi : Universita Del Caffe Illy di Hungary, Muzium Kopi Dubai dan sebagainya,” jelas Darling.

Tegasnya, objektif penting program tersebut adalah untuk tontonan umum rakyat Malaysia dalam mendapatkan pendedahan mengenai sejarah latar belakang dan keunikan jenis-jenis kopi serta cara menikmati minuman kopi yang sebenar.

“Saya harap dengan adanya program tersebut dapat memberi idea konsep kafe baharu dan menggalakkan usahawan-usahawan Malaysia ke arah industri pemakanan juga Informasi lokasi kafe-kafe halal dan terbaik di Eropah,” katanya.

Sementara itu, kata Darling, Bell dipilih menjadi hos kerana abangnya itu merupakan peminat tegar kopi dan secara tidak langsung memudahkan kelancaran program apabila berbicara soal kopi. Selain itu, sifat Bell yang kelakar itu dapat mewujudkan suasana ceria dan santai.

“Gandingan Bell dan Cef Rashied dilihat serasi kerana dalam program 13 episod, arahan Esmi Zahara itu turut ditunjukkan resipi pencuci mulut yang berasaskan kopi.

“Cef Rashied merupakan selebriti cef yang berpengalaman luas dalam menu antarabangsa dan pernah mewakili Malaysia ke Amerika Syarikat, Itali dan Arab Saudi,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE